Home » Citra Yadim » Is’adul Usrah di Kampung Tedong Barat

Is’adul Usrah di Kampung Tedong Barat

MERLIMAU – Dengan hanya bekerja sendiri, antaranya memotong rumput di sekitar kampung, Zulhadi Taib di Kampung Tedong Barat di sini terpaksa berdikit sikit mengawal perbelanjaannya.

 

 

Bapa empat anak ini beberapa kali menangguhkan hasrat untuk membaiki dinding dan bumbung rumahnya yang rosak.

 

Kayu dindingnya mula reput, begitu juga bumbung dapur rumahnya. Memang menjadi hasratnya untuk membaiki kediamannya itu, namun apakan daya belum kesampaian.

 

Namun dia menarik nafas lega dan mengucapkan syukur apabila kediamannya terpilih untuk dibaiki dalam program Is’ad Al Usrah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

 

Menerusi program ini, YADIM membiayai kos pembaikan dinding dan bumbung kediamannya sebanyak RM10,000 bermula 2 Jun lalu.

 

Zulhadi yang dikunjungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri  pada 8 Julai di sini tidak berhenti mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diterimanya.

 

Tidak lekang senyuman di wajahnya  apabila Datuk Dr Zulkifli sendiri meninjau sendiri perkembangan kerja kerja pembaikan di kediaman.

 

Hadir sama ialah Mufti Melaka, Sahibus Samahah Dato’ Halim Tawil dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Haji Md Rawi Mahmud.

 

YADIM pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Melaka, Muzafar Abd Rahim.

 

Dalam kunjungan ini, YADIM juga menyumbang pek barangan keperluan harian kepada keluarga Zulhadi.

 

Badan dakwah ini turut menyumbang set barangan keperluan harian kepada seorang lagi penduduk, Asri Ahmad, di kampung tersebut.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *