Home » Langit Terbuka » Jakim hargai peruntukan untuk hal ehwal Islam

Jakim hargai peruntukan untuk hal ehwal Islam

Ketua Pengarah JAKIM berkata, dengan peruntukan tersebut, Jakim akan meneruskan program-program bagi meninggikan syiar Islam selain program komited di seluruh negara

BANGI – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyambut baik serta merakamkan penghargaan terhadap Kerajaan Persekutuan kerana telah meningkatkan peruntukan bagi pengurusan hal ehwal Islam yang dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, dengan peruntukan ini, Jakim akan meneruskan program-program bagi meninggikan syiar Islam selain program komited di seluruh negara.

Beliau berkata, antara program terlibat yang akan memanfaatkan peruntukan itu, termasuklah program KAFA, takmir dan lain-lain yang disalurkan menerusi Kerajaan Negeri.

“Selaras kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Jakim juga akan meneruskan program-program bagi menzahirkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua pihak berpandukan kepada nilai-nilai Maqasid Syariah demi melahirkan khaira ummah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion, bagi memastikan kemajuan syiar Islam tidak terjejas walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Guan Eng berkata, sejumlah RM150 juta lagi disediakan bagi melaksanakan program-program tertentu termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan Braille. – Ismaweb

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *