Home » Langit Terbuka » Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan pantau isu Mahkamah Syariah – Mohd Na’im

Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan pantau isu Mahkamah Syariah – Mohd Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar. - Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan yang berperanan memantau sebarang isu membabitkan Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pembentukan jawatankuasa di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) itu sudah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

“Nama anggota jawatankuasa ini sudah dipersembah dan akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada 21 Februari ini.

“Nama mereka sudah dipersembahkan, saya tak boleh nak umum, namun antara ahlinya ialah semua Ketua Hakim Syariah negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Pelancaran Kempen Kebersihan Tandas masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Mahmoodiah di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata, pembentukan jawatankuasa itu bersifat kekal di bawah MKI berbanding Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibentuk secara interim.

“Jawatankuasa ini akan memainkan peranan untuk melihat isu yang berlaku di Mahkamah Syariah sepanjang masa,” katanya.

Ditanya mengenai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN, beliau berkata jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Zaki Azmi itu sudah bersidang sebanyak lapan kali sejak Disember tahun lalu.

Jelasnya, jawatankuasa terbabit berperanan menyediakan syor selain meneliti secara meluas bagaimana institusi Mahkamah Syariah boleh terus dimartabatkan, dilindungi dan diperkasakan.

“Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI perkenan memberi tempoh setahun untuk jawatankuasa ini menyediakan syor, itu tempoh masa yang diberikan tuanku.

“Tempoh setahun itu sebab rujukan kepada jawatankuasa khas ini bukan sahaja merujuk kepada keputusan kes peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid atau kes Iki Putra Mubarak tetapi ia lebih luas,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, pihaknya mencadangkan Jabatan Penguatkuasaan Syariah diwujudkan di setiap negeri dalam usaha memperkasakan lagi undang-undang syariah.

Jelasnya, buat masa ini Jabatan Agama Islam Negeri hanya mempunyai bahagian penguatkuasaan dan bukan sebagai sebuah jabatan.

“Sebagai contoh di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dahulu ada bahagian pendakwaan syariah dan sekarang bahagian itu sudah menjadi Jabatan Pendakwaan Syariah, namun bahagian penguatkuasaan masih di bawah JAWI.

“Jadi untuk memastikan supaya bahagian penguatkuasaan ini boleh bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi secara eksekutif untuk melakukan siasatan dan tangkapan, maka ada keperluan untuk menjadikannya sebagai sebuah jabatan,” katanya.

Justeru, beliau berharap semua negeri dapat berusaha untuk merealisasikannya.

“Kebanyakan di negeri-negeri, masih lagi bahagian penguatkuasaannya berada di bawah Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

“Jadi untuk memperkasakan sistem perundangan dan kehakiman syariah, antara cadangan yang boleh dibuat ialah untuk mewujudkan satu jabatan penguatkuasaan yang berasingan,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *