Home » Langit Terbuka » Jawi Food Bank sumbang makanan

Jawi Food Bank sumbang makanan

Jawi bersama rakan strategik iaitu Rangkaian Restoran Ali Maju mengedarkan makanan kepada petugas PPUM yang bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan - Foto Jawi

KUALA LUMPUR – Simpati dengan nasib mereka yang terpaksa bekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan kerajaan, Jawi Food Bank dengan kerjasama rakan strategik tampil memberikan sumbangan makanan kepada yang terbabit.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata, inisiatif itu dimulakan semalam, dengan memberi sumbangan makanan kepada petugas di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) yang bertugas ketika wabak Covid-19 melanda negara.

Katanya, ia sebahagian usaha untuk meringankan beban mereka yang mengambil risiko bertugas ketika seluruh negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan sejak semalam.

“Hari ini (semalam) kita bersama rakan strategik iaitu Rangkaian Restoran Ali Maju mengedarkan makanan kepada petugas PPUM yang kita tahu sudah berkorban demi keselamatan dan kesihatan semua.

“Insya-Allah, kita akan teruskan sumbangan sebegini dan berharap lebih ramai penyumbang untuk turut serta. Yang penting kita perlu saling membantu antara satu sama lain ketika keadaan begitu mendesak,” katanya kepada Harian Metro.

Inisiatif berkenaan turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang berkongsi mengenainya di laman Twitter miliknya.

“Jawi Food Bank dengan kerjasama Datuk Jawahar Ali, Restoran Ali Maju menyumbangkan makanan kepada petugas hadapan Covid-19 di PPUM KL tengah hari ini. Terima kasih kepada Jawi dan Restoran Ali Maju atas kerjasama,” katanya.

Sementara itu, Jawahar Ali berkata, pihaknya tampil membantu memandangkan ada kesukaran untuk mendapatkan makanan terutama dalam tempoh larangan yang berakhir 31 Mac ini.

Katanya, sebagai ahli masyarakat, beliau melakukan apa yang termampu untuk memastikan semua petugas mendapat perhatian sewajarnya kerana mereka bekerja untuk keselesaan semua.

“Yang berlaku hari ini (semalam) ada hikmahnya dan sudah tentu kita yakin bahawa di sebalik kesukaran, Allah akan mudahkan nanti, Insya-Allah,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *