Home » Langit Terbuka » Karnival Rahmah anjuran kerjasama rakan strategik

Karnival Rahmah anjuran kerjasama rakan strategik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (tengah)bersama Ketua Pengarah JAKIM (kiri) dan pengarah JAWI semasa melancarkan logo Karnival Rahmah.- Foto FB Pengarah JAWI

PUTRAJAYA – Karnival Rahmah 2019 dianjurkan dengan kerjasama dengan rakan strategik dan syarikat korporat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf.

Beliau berkata, karnival empat hari bermula 26 hingga 29 September ini melibatkan sekurang-kurangnya 10 kementerian dan banyak penyertaan syarikat swasta yang secara tidak langsung menampung kos pembiayaan program itu.

Katanya, menerusi karnival itu, rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini boleh mengetahui secara mendalam mengenai konsep Rahmatan Lil Alami yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak tahun lalu.

“Rahmatan Lil Alamin ini membawa maksud Islam rahmat untuk seluruh alam, yang merupakan salah satu teras menuju negara Rahmah.

“Negara Rahmah pula merupakan satu gagasan yang dibawa oleh kerajaan bagi menuju sebuah negara yang berintegriti, tadbir urus yang baik, mengamalkan kedaulatan prinsip hukum, masyarakat berilmu, berakhlak, saling hormat-menghormati dan menjalani kehidupan antara kaum penuh kedamaian dan keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Logo Karnival Rahmah 2019 di Auditorium Jakim, Kompleks Pusat Islam di sini, hari ini (1 Ogos).

Mengenai tiga teras negara Rahmah, Dr. Mujahid berkata, pertamanya, Rahmatan Lil ‘Alamin iaitu Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam yang membawa keamanan dan kemakmuran dalam masyarakat.

Kedua, Maqasid Syariah iaitu pentadbiran yang berasaskan kepada Maqasid Syariah yang menekankan mengenai aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Serta ketiga, Model Malaysia iaitu menampilkan sesuatu model yang sesuai dengan keadaan (waqi’), adat dan budaya bangsa tanpa meninggalkan asas Islam.

Sehubungan itu, kata beliau, dengan mengambil teras negara Rahmah yang pertama iaitu Rahmatan Lil ‘Alamin, Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan Karnival Rahmah 2019.

Menurutnya, ia bersesuaian dengan hasrat kerajaan yang sentiasa ingin memastikan keamanan dan kemakmuran antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Karnival Rahmah 2019 akan dianjurkan di tiga lokasi iaitu Putrajaya, Kelantan dan Pulau Pinang.

Acara pertama akan diadakan di Dataran Putrajaya bermula pada 26 hingga 29 September 2019, dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Karnival itu beraspirasi untuk menjadi acara terbesar di Malaysia dengan mensasarkan pengunjung dalam kalangan mereka yang berkeluarga serta generasi muda.

Konsep Karnival Rahmah juga adalah berlandaskan “edutainment” yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan untuk semua.

Manakala pengisian karnival terbahagi kepada enam kluster berasaskan enam teras Rahmah iaitu Rahmah (R), Aman (A), Harmoni (H), Mesra (M), Alami (A) dan Hormat (H). – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *