Home » Langit Terbuka » Kartel daging: JAKIM perjelas kenapa ‘membisu’

Kartel daging: JAKIM perjelas kenapa ‘membisu’

Maklum balas JAKIM dalam isu daging import ketika ini akan menimbulkan suasana tidak baik, kerana ia akan menjejaskan siasatan. - Foto hiasan AlHijrahNews

KUALA LUMPUR – Isu penyeludupan daging yang hangat diperkatakan sekarang di luar bidang kuasa dan tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikannya, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee.

Beliau berkata, peranan pasukan JAKIM adalah memeriksa sama ada sesebuah rumah penyembelihan di luar negara mematuhi hukum syarak dari aspek proses penyembelihan sehinggalah daging itu dibungkus dan dimasukkan ke dalam kotak dalam keadaan bebas cemar.

“Permit mengimport daging dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). Apabila produk itu sampai ke pintu masuk negara, kastam akan melihat dari segi cukai.

“Selepas produk daging itu berada di gudang di dalam negara ia adalah tertakluk bawah Akta Perihal Dagangan 2011 bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” kata Sirajuddin, dalam segmen “Tanya Jakim bertajuk SOP Sijil Halal: Di Mana Silapnya?” yang disiarkan dalam talian di Facebook JAKIM pada 28 Disember.

Sirajuddin berkata JAKIM menyedari banyak pihak mempersoalkan jabatan itu, apabila tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu penyeludupan daging import dan tidak mendedahkan senarai nama syarikat atau jenama yang terlibat.

Menjawab persoalan itu, beliau berkata pihak berkuasa seperti KPDNHEP sedang menjalankan siasatan dan akan mendedahkan hasilnya apabila siasatan kes berkenaan selesai.

“Biarlah siasatan dijalankan dengan cara terbaik tanpa gangguan. Berikan ruang agensi yang berkaitan untuk menyiasat. Maklum balas (JAKIM) akan menimbulkan suasana tidak baik, kalau (JAKIM) keluarkan kenyataan akan menjejaskan siasatan,” katanya.

Sejak isu tersebut timbul, banyak pihak mempersoalkan JAKIM kerana mereka menganggap agensi itu bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses membawa masuk daging dari luar negara.

Ditanya sama ada benar atau tidak aktiviti penyeludupan daging itu sudah 40 tahun berlaku, beliau berkata perkara itu tidak dapat disahkan atau dinafikannya, kerana ia merupakan dakwaan dari pihak industri dan bukannya agensi atau badan penguat kuasa.

Isu daging seludup menjadi hangat apabila media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan lambang halal di sebuah gudang di Senai, Johor. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *