Home » Langit Terbuka » Kerajaan janji tindakan segera tangani isu kartel daging haram

Kerajaan janji tindakan segera tangani isu kartel daging haram

Perbincangan untuk segera menangani isu kartel daging akan diadakan dengan beberapa kementerian yang berkaitan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). - Foto NSTP

KUALA LUMPUR – Kerajaan berjanji tindakan segera akan diambil mengikut bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan punca berlaku kartel import daging haram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya sudah mula mengadakan perbincangan dengan JAKIM untuk mencari kelemahan dan punca berlakunya perkara itu.

Dalam masa yang sama juga beliau berkata, perbincangan untuk tujuan yang sama akan diadakan dengan beberapa kementerian yang berkaitan dengan isu ini.

“Kami akan duduk semeja dahulu dengan JAKIM  dan beberapa kementerian untuk melihat di mana kelemahan-kelemahan untuk kita baiki.

“Dengan JAKIM hari ini sudah bincang dengan kementerian kami akan susuli, sahabat-sahabat kami akan bincang dari semasa ke semasa.

“Selepas daripada itu barulah kita tahu apa masalah yang perlu diselesaikan khususnya dalam isu pengimportan daging ini sama ada mengikut SOP (prosedur operasi standard) halal atau tidak,” katanya.

Terdahulu Zulkifli ditemui di sebuah kilang memproses makanan sejuk beku di Segambut untuk memantau daging import yang berada di premis berkenaan pada 28 Disember.

Ditanya adakah perlu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyelesaikan isu ini, Zulkifli berkata, ia perlu dipertimbangkan terlebih dahulu berdasarkan hasil perbincangan yang akan diadakan.

“Saya tidak kata perlu dan saya tidak kata tidak sebab perkara ini saya perlu dalami dengan lebih baik tapi saya  tidak akan ambil masa yang lama dalam masa dua tiga hari atau seminggu untuk kita tengok respon, maklumat apakah perkara-perkara yang boleh kita tangani dengan segera,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *