Home » Langit Terbuka » Kediaman yang uzur kini serba baharu

Kediaman yang uzur kini serba baharu

Rumah baharu yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua tandas itu turut dilengkapi ruang tamu dan ruang dapur dan ianya cukup memberi keselesaan kepada Md Husairi sekeluarga. - Foto YADIM

KUALA KRAU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Pertubuhan KRS Shazmin serta Pejabat ADUN Jengka telah menjayakan usaha membaik pulih rumah penduduk, Md Husairi Nazri di Jengka 11, di sini.

Sebagai simbolik memasuki kediaman tersebut, majlis menyerahkan kunci telah disempurnakan Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan dan ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim, kelmarin.

 

Hasil perbincangan di antara Pengurus FELDA Jengka 11, Fazuri Zakaria bersama NGO tersebut, rumah Md Husairi dan pasangannya, Khamsiah Mahat terpilih untuk dibaik pulih.

 

Rumah berbilik satu didiami pasangan itu sebelum ini mempunyai ruang yang sempit, tidak dilengkapi ruang tamu dan atap rumahnya juga sudah bocor menyebabkan setiap kali hujan lebat turun, air akan menitis di atas tilam.

 

Hampir keseluruhan struktur fizikal kayu yang menjadi dinding dan tiang seri rumah itu juga telah dimakan oleh anai-anai dan ini turut menyebabkan rumah tersebut hampir roboh tersembam menyembah bumi.

 

Kos membaik pulih rumah ini adalah sebanyak RM28,000 di mana sebahagiannya adalah hasil peruntukkan YADIM iaitu sebanyak RM12,000 manakala selebihnya adalah sumbangan KRS Syazmin, Ustaz Shahril dan orang perseorangan.

 

Walaupun kerja-kerja pembinaan rumah ini agak terlewat berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pendemik COVID-19, namun akhirnya ia berjaya juga disiapkan.

 

“Alhamdulillah, akhirnya siap juga rumah saudara Khusairi dan pasangannya Ustazah Khamsiah, setelah hampir setahun proses baik pulih tergendala kerana faktor PKP dan kecederaan tukang sukarela dari Jabatan Amal.

 

“Insya-Allah, kami di YADIM akan sentiasa berusaha membantu dan menolong  semua pihak  yang memerlukan bantuan tidak kira bangsa dan agama,” ujar Ustaz Nasrudin

 

Rumah baharu yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua tandas itu turut dilengkapi ruang tamu dan ruang dapur dan ianya cukup memberi keselesaan kepada Md Husairi sekeluarga.

 

“Saya sekeluarga merasa amat terharu dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat memberi bantuan dan sumbangan membaik pulih rumah saya,” ujar Md Husairi terharu.

 

Ustaz Shahril juga tidak ketinggalan merakam ucapan penghargaan kepada YADIM kerana memiilih FELDA Jengka 11 di dalam DUN Jengka bagi menjayakan projek baik pulih rumah penduduk ini.

 

Turut hadir dalam penyerahan kunci tersebut Pengerusi YADIM Pahang, Ustaz Hazmi Dibok dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau, Nazri Husin.

 

Juga Ahli Jawatankuasa PAS Kuala Krau, Kamaruzaman Usop dan Pengurus FELDA Jengka 11, Fazuri Zakaria serta Tok Empat Jengka 11, Khairul Anuar Alias. – HARAKAHDAILY

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *