Home » Citra Yadim » Kunjungan ke Universiti Multimedia

Kunjungan ke Universiti Multimedia

Delegasi YADIM ketika mendengar penerangan di studio MMU

CYBERJAYA – Sesuai dengan hasrat untuk mempelbagaikan sudut perspektif dakwah, satu delegasi kakitangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah mengadakan lawatan ke Universiti Multimedia (MMU) di sini pada 3 Julai 2019.

Delegasi seramai 21 orang ini, yang diketuai Timbalan Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin, telah mengadakan kunjungan ke Fakulti Multimedia Kreatif (FCM) MMU di sini.

Turut serta ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Dr. Muhamad Razak Idris, Ahli Jawatankuasa Sektor Penyelidikan dan Penerbitan Dakwah, Ahmad Yani Abdul Manaf serta Ketua Pegawai Operasi, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Dengan cabaran semakin pelbagai, lawatan ini bertujuan mendapatkan idea baru, kaedah, serta cadangan untuk bekerjasama dengan MMU dalam mendepani dunia dakwah hari ini.

MMU diwakili oleh Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Dr Abdullah Salehuddin Abdullah Salim, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) FCM MMU, Pn Sri KusumawatiMohd Daud, Ketua Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Hani Suhaila Ramli, Penasihat Karier, Baktiar Hasnan serta Timbalan Ketua UCTC, Mustapha Shukri dalam sesi perbincangan.

Kedua pihak saling bertukar pendapat tentang dunia dakwah dan multimedia serta merancang beberapa kolaborasi bersama antara YADIM dan FCM.

Antara persefahaman awal yang dicapai ialah keduanya bersetuju supaya sebarang kolaborasi nanti akan membawa mesej keamanan, menolak pelampau dan pengganas, mewujudkan sikap bertolak ansur dan rahmah yang menonjolkan konsep Rahmatan Lil Alamin.

Menurut Zolkharnain, MMU mempunyai kepakaran yang sangar besar dalam konteks dakwah mendekati sasaran baru, iaitu mereka yang aktif terlibat dengan dunia maya dan multimedia.

“Penggunaan pendekatan dakwah  seperti ini InsyaAllah boleh memikat sasaran tersebut, khususnya mereka yang ‘terikat’ dengan dunia ini, contohnya golongan muda.

“Dalam konteks YADIM,  ketika ini ia sudah memiliki YADIM TV yang menjalankan kerja asas penyiaran, namun sudah tentu memerlukan pembaharuan agresif,”.

“Sekarang sudah ada idea untuk melahirkan filem filem dan animasi pendek yang menyebarkan mesej rahmah, perpaduan dan kemananan menggunakan pelbagai medium seperti Facebook dan Whatsapp.

“Saya fikir sudah tiba masa untuk kita fikirkan latihan kepada petugas  yang menjalankan kerja kerja ini,” katanya sambil menambah, YADIM dan MMU boleh merintis kerjasama dalam pelbagai bidang yang menguntungkan keduanya.

Muhammad Razak pula berkata, dakwah hari ini dan multimedia tidak boleh dipisahkan dan gerak kerjanya  perlu dimulakan dengan menarik golongan muda ke jalan ini.

“Ilmu menarik generasi millennium ini terlalu luas, selepas berjaya menarik mereka ini, barulah kerja kerja dakwah boleh dimulakan. Di sini pentingnya pandangan awal (menerusi multimedia).

Beliau turut melahirkan hasrat untuk mendapatkan pandangan FCM berkenaan pembangunan dan kandungan YADIM TV.

Jelas beliau, sebagai pemain lapangan industri media, MMU menerusi FCM sudah tentu mempunyai pengalaman dan perspektif mereka yang tersendiri yang boleh membantu YADIM TV.

Turut dibincangkan ialah cadangan penubuhan komuniti tekno daie, iaitu kumpulan pendakwah muda terutamanya dari kalangan pelajar universiti untuk berdakwah, dengan YADIM dan FCM sebagai terasnya.

Sementara itu, selain sesi perbincangan, delegasi YADIM turut dibawa melawat studio dan makmal makmal di FCM selain diberi penerangan berkaitan kaedah pengajaran dan kemudahan di sana.

MMU menerusi FCM terkenal melahirkan ramai tenaga kerja yang menghasilkan pelbagai animasi terkenal seperti Upin dan Ipin, Ejen Ali, serta Boboiboy.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *