Home » Langit Terbuka » Semua masjid disaran anjurkan solat hajat doakan keselamatan penduduk di Pasir Gudang

Semua masjid disaran anjurkan solat hajat doakan keselamatan penduduk di Pasir Gudang

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, turut menggesa jabatan dan agensi di bawah portfolionya agar sama melakukan solat hajat berikutan insiden pencemaran itu. - Foto Kosmo

JOHOR BAHRU – Semua masjid di Johor disaran mengadakan solat hajat malam esok (4 Julai) secara serentak bagi mendoakan keselamatan penduduk di Pasir Gudang yang terjejas berikutan insiden gangguan kesihatan yang dialami pelajar dan guru di beberapa sekolah di Pasir Gudang sejak 20 Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor Tosrin Jarvanthi yang membuat saranan itu turut menggesa jabatan dan agensi di bawah portfolionya agar sama melakukan solat hajat.

“Saya ingin mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor, Tuan Kadi Daerah supaya malam esok kita adakan solat hajat besar-besaran di seluruh masjid di Johor.

“Marilah kita memohon kepada Allah supaya dijauhkan bala yang menimpa masyarakat di Pasir Gudang,” katanya ketikca berucap merasmikan Seminar Falak Kontemporari Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.

Beliau berkata usaha ini antara antara ikhtiar yang boleh dilakukan selain menggesa semua lapisan masyarakat mengambil iktibar dari insiden berkenaan dan menganggap segala ujian merupakan tanda kekuasaan Allah.

Dalam perkembangan lain, Tosrin berkata seminar hari ini yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Johor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), di harap dapat membuka mata masyarakat dan mendidik mereka mengenai ilmu falak yang semakin dilupakan oleh generasi muslim pada masa kini.

“Pada zaman ini, pembelajaran dan perkembangan ilmu falak seiring dengan perkembangan teknologi terkini seperti teknologi satelit yang digunakan bagi tujuan komunikasi, penyelidikan, ketenteraan dan ia juga digunakan bagi tujuan kaji cuaca, penentuan arah kiblat dan sebagainya.

“Dengan seminar ini, diharapkan akan berputiknya minat generasi masa kini berkaitan ilmu astronomi atau falak sekaligus dapat melahirkan cendikiawan Islam yang menguasai dan mengembalikan kegemilangan ilmu falak seperti pada zaman kemasyuran tamadun islam dahulu.

Seminar satu hari ini turut mengumpulkan pakar-pakar dari Universiti Teknologi Malaysia dan agensi kerajaan seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Persatuan Falak Syari’ Malaysia.- Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *