Home » Langit Terbuka » Lebih 1,000 orang mendaftar di portal cari jodoh Cinta Sakinah

Lebih 1,000 orang mendaftar di portal cari jodoh Cinta Sakinah

Pengarah JAIPk berkata, portal yang dibangunkan JAIPk dengan kerjasama K-Perak Implementation And Coordination Corporation (K-Perak) itu merekodkan 200 pendaftaran hanya pada hari pertama pelancarannya - Foto cintasakinahjaipk.perak.my

IPOH – Lebih 1,000 individu mendaftar menerusi laman web Cinta Sakinah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sejak portal carian jodoh itu dilancarkan hujung bulan lalu.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, portal yang dibangunkan JAIPk dengan kerjasama K-Perak Implementation And Coordination Corporation (K-Perak) itu juga merekodkan 200 pendaftaran hanya pada hari pertama pelancarannya.

“Diharap individu yang mendaftar melalui portal ini benar-benar mahu berkahwin dan kita akan membantu mereka.

“Melalui sistem ini, kita yakin dapat membantu golongan ini yang sukar mencari jodoh sama ada disebabkan kesibukan kerja atau lanjut usia,” katanya selepas merasmikan majlis Nikah Jama’ie Syarie sempena jubli emas Masjid Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini.

Pada majlis itu, seramai 13 pasangan diijabkabulkan dan setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM1,800 termasuk majlis kenduri untuk keluarga terdekat.

Mohd. Yusop berkata, pengisian portal itu disusun secara sistematik menepati kehendak perkahwinan dalam Islam iaitu perkenalan antara dua individu diurus dan dipantau hingga ke peringkat pertemuan dan pernikahan.

Katanya, portal itu juga bukan sekadar laman web biasa kerana jodoh yang dipilih akan dinilai sama ada menepati kehendak sebagai pasangan ataupun sebaliknya.

“Pertemuan diatur di pejabat agama daerah ditemani ahli keluarga masing-masing dengan mereka boleh bercerita tentang diri dan apabila ada kesesuai­an serta persetujuan, maka kita bantu hingga ke urusan pernikahan,” katanya. – Mingguan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *