Home » Langit Terbuka » Lebih Banyak Negeri Akan Mengharamkan Penjualan Arak- Ahmad Marzuk

Lebih Banyak Negeri Akan Mengharamkan Penjualan Arak- Ahmad Marzuk

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), larangan penjualan arak bukan sahaja merupakan tuntutan agama malah langkah diambil turut mendapat maklum balas positif daripada masyarakat sivil secara amnya termasuk mereka yang bukan beragama Islam. - Foto MyKMU

KOTA BHARU – Kerajaan tidak menolak kemungkinan lebih banyak negeri lain mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan, untuk mengharamkan penjualan arak di kedai serbaneka dan runcit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya menyambut baik keputusan diambil Kementerian Wilayah Persekutuan itu dan menyifatkan ia sebagai langkah yang tepat.

Menurut Ahmad Marzuk, perkara itu bukan sahaja merupakan tuntutan agama malah langkah diambil turut mendapat maklum balas positif daripada masyarakat sivil secara amnya termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

“Tidak kira apa agama dan bangsa, tapi kalau disebabkan mabuk, semua orang berisiko untuk menjadi mangsa. ”

“Ini juga desakan dari masyarakat sendiri, terutama bagi orang Islam, kerana ini adalah tuntutan agama paling utama”, kata Ahmad Marzuk.

Kerajaan tidak terlepas pandang terhadap aduan yang dilakukan oleh orang ramai, antaranya bagaimana pekerja-pekerja Islam di kedai serbaneka 24 jam yang terpaksa berurusan dengan penjualan arak.

Jelasnya, ini sebahagian daripada strategi kerajaan yang holistik dan ianya perlu didokong oleh semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik demi kebaikan semua pihak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui AlHijrah Online pada program Inspirasiku Myhaus dan Foodbank YAPEIM 2.0 di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Mengulas lanjut, beliau mengakui penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka tidak mendatangkan kebaikan malah mendorong kepada perkara-perkara negatif termasuk peningkatan kes pemandu mabuk.—AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *