Home » Citra Yadim » Luaskan Is’ad Al Usrah ke seluruh negara

Luaskan Is’ad Al Usrah ke seluruh negara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika melakukan gimik meletakkan batu simen ketika melancarkan program Is'ad al Usrah di Kapar. - Foto YADIM

KAPAR – Usaha Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyantuni golongan yang memerlukan menerusi program YADIM Peduli : Is’ad Al Usrah Dan Sumbangan Keluarga Asnaf amat dialu-alukan dan sewajarnya diteruskan ke seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata,sememangnya menjadi hasrat beliau untuk melihat program seperti ini dilaksanakan juga di seluruh negara.

“Di saat negara masih berdepan dengan Covid-19, pelaksanaan program ini dapat menjalin ukhuwah sambil membantu dan menceriakan pihak yang memerlukan,”katanya.

Dr Zulkifli berkata demikian selepas melancarkan program berkenaan di kediaman seorang ibu tunggal, Rosmah Osman di Jalan Lorong Haji Amin di sini pada 22 Julai.

Hadir sama ke program ini ialah Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Naib Presiden Pemasaran, Komunikasi & Tanggungjawab Sosial CIMB Islamic Bank Berhad, Mohd Zaid Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M. Yusof, wakil wakil badan bukan kerajaan serta pemimpin tempatan.

Program ini merupakan inisiatif di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk melaksanakan kerja kerja pembaikan di kediaman asnaf yang dikenalpasti memerlukan agar mereka memiliki kediaman yang lebih selesa.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli yang memuji YADIM dalam program ini berkata, menerusi kerjasama pelbagai pihak, badan dakwah ini berjaya menjimatkan kos pelaksanaannya, namun tetap dapat menyantuni golongan sasaran.

Tambah beliau, pihaknya akan sedaya upaya membantu golongan yang diperlukan di negara ini, dan agensi agensi di bawahnya akan digerakkan bagi melaksanakan usaha ini.

Rosmah Osman merupakan seorang pesakit strok tanpa pendapatan tetap yang memiliki enam orang anak, termasuk seorang orang kelainan upaya penglihatan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *