Home » Langit Terbuka » Maik sumbang RM543,691 kepada NGO, asnaf

Maik sumbang RM543,691 kepada NGO, asnaf

TENGKU MUHAMMAD FA-IZ IBNI SULTAN ISMAIL PETRA (dua, kiri) berkenan menyampaikan replika cek kepada Che Ahmad Che Mahmood (kanan) pada Majlis Pengurniaan Sumbangan Bantuan Kepada Pesakit dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII) hari ini. Turut sama Ahmad Razin Ahmad Mahir (dua, kanan). - BERNAMA

KOTA BHARU 6 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menyumbangkan sebanyak RM543,691.20 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pesakit golongan asnaf terpilih, di sini hari ini.

Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan menyampaikan bantuan tersebut dalam satu majlis di Auditorium Kompleks Rawatan Harian (ACC) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Baginda yang juga Yang Dipertua Maik telah mengurniakan sumbangan itu kepada enam buah NGO, Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) serta 72 pesakit yang mendapat rawatan di HRPZII dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Yang turut hadir, Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Shahidani Abd Aziz @ Juned; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Nik Kazim Nik Yusoff ; Mufti negeri, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd Hadi.

Sempena majlis itu juga, baginda berkenan melawat pesakit buah pinggang yang mendapatkan rawatan haemodialisis di Unit Nefrologi HRPZII.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) cawangan Kelantan, Johari Yap berkata, pihaknya amat berterima kasih dengan bantuan sebanyak RM40,000 yang diterima dalam majlis itu.

“Ini adalah tahun keempat kami menerima sumbangan Maik yang mana digunakan untuk menjalankan aktiviti persatuan terutama bagi menjaga kebajikan saudara baharu.

“Kami mempunyai lebih 300 ahli dan antara masalah utama yang sering dihadapi mereka adalah disingkir keluarga setelah memeluk agama Islam,” katanya.

Seorang lagi penerima, Norlia Muda, 46, dari Kampung Beris Kubor Besar, Bachok pula bersyukur kerana mendapat bantuan susu khas bernilai RM 1,971 bagi tempoh setahun untuk kegunaan anaknya, Badriz Iskkandar Abd Aziz, 16, yang menghidap penyakit Mucopolysaccharidosis jenis kedua (MPS Hunter II). – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *