Home » Langit Terbuka » MAINPP bantu pelajar golongan asnaf

MAINPP bantu pelajar golongan asnaf

Yang Dipertua MAINPP berkata, pihaknya bekerjasama dengan Segi Group of Collegess dan QSR Brands (M) Sdn Bhd, dan akan membantu kira-kira 500 pelajar daripada golongan asnaf. - Foto MAINPP

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi Zakat Pulau Pinang (ZPP) bekerjasama dengan beberapa pihak, bagi membantu pelajar golongan asnaf, mengikuti program belajar sambil bekerja dan seterusnya mendapatkan pekerjaan tetap kepada mereka.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata pihaknya bekerjasama dengan Segi Group of Collegess dan QSR Brands (M) Sdn Bhd, dan akan mencari kira-kira 500 pelajar daripada golongan asnaf, bagi mengikuti beberapa program pengajian di kolej swasta berkenaan.

“Menerusi program yang dijangka bermula September hadapan, peserta turut ditawarkan pekerjaan sementara ketika mengikuti pengajian dan selepas tamat program terbabit. Pengajian yang ditawarkan di peringkat Diploma Pentadbiran Perniagaan, Seni Kulinari dan Pengurusan Hotel.

“Pihak Segi Group of Colleges akan menyediakan biasiswa sepenuhnya, untuk pelajar-pelajar yang mengikut pengajian itu, dan mereka juga diberikan peluang pekerjaan semasa menjalani kursus, dan seterusnya selepas tamat pengajian,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian bantuan zakat kepada 827 penerima di Program Nur Ramadan anjuran ZPP, di sini.

Setiap penerima, masing-masing diberikan bantuan zakat RM600 tunai dan hamper. Sebelum ini pada siri pertama pada 25 April, ZPP telah menyampaikan zakat kepada 2,152 penerima dan ZPP memperuntukkan RM7,680,750 untuk keseluruhan Program Nur Ramadan tahun ini.

Abdul Malik yang juga pengerusi ZPP berkata, selain itu pihaknya turut bekerjasama dengan sebuah lagi institusi pengajian iaitu Kolej Optopreneur di Kuala Lumpur, yang mana ZPP akan menaja yuran pendaftaran bagi 100 pelajar golongan asnaf.

“Pelajar akan mengikuti kursus di peringkat diploma dan sijil dalam ‘Peruncitan’, serta program kefasihan Bahasa Inggeris, dan mereka juga akan diberi pekerjaan sambilan semasa belajar dan berpeluang mendapat pekerjaan tetap selepas mengikuti kursus berkenaan,” katanya.

Sementara itu, katanya MAINPP juga menerusi ZPP merancang memberi latihan serta pendidikan mengenai konsep pendidikan awal kanak-kanak ‘gaya’ Jepun, berteraskan moral kepada ibu tunggal di negeri ini, dalam usaha membantu mereka menambah pendapatan.

“Selain mempunyai pembelajaran akademik, konsep pendidikan itu lebih menekankan subjek moral dan tatasusila, namun ianya masih dalam peringkat perancangan. Program ini nanti akan diberi keutamaan kepada ibu tunggal kerana ia akan dapat meningkatkan pendapatan golongan tersebut,”katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *