Home » Langit Terbuka » Malaysia akan buka kedutaan Palestin di Jordan secepat mungkin

Malaysia akan buka kedutaan Palestin di Jordan secepat mungkin

Perdana Menteri menjelaskan, cadangan membuka kedutaan dan sokongan Malaysia kepada Palestin bukan semata-mata kerana mereka umat Islam, tetapi kerana ketidakadilan yang berlaku terhadap mereka sejak beberapa dekad lalu. - Foto Sinar Harian

BAKU (AZERBAIJAN) -Pembukaan kedutaan Malaysia untuk Palestin di Jordan akan dibuat secepat mungkin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad sehari selepas membuat pengumuman cadangan itu pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di sini.

“Akan dibuat secepat mungkin…sedang cari pejabat,” kata Perdana Menteri pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum berangkat ke Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari.

Beliau menjelaskan cadangan membuka kedutaan dan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin bukan semata-mata kerana mereka umat Islam, tetapi kerana ketidakadilan yang berlaku terhadap mereka sejak beberapa dekad lalu.

Dr Mahathir berkata ketidakadilan yang dilakukan rejim Israel terhadap Palestin seperti merampas tanah perlu diketahui masyarakat antarabangsa.

“Rakyat Palestin dianiaya….kita dapati kuasa-kuasa besar sokong perbuatan ini walaupun ia menyalahi undang-undang antarabangsa. Lebih menyedihkan walaupun perbuatan Israel itu salah, mereka masih sokong,” katanya.

Pada Jumaat, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin bagi membolehkannya memberi bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah.

Kedutaan itu akan ditempatkan di Jordan, katanya, ketika menyampaikan ucapan kepada para pemimpin dan wakil dari 120 negara anggota NAM.

“Kami tahu Israel tidak akan membenarkan Malaysia membuka kedutaan di wilayah yang diduduki. Oleh itu kami akan membuka kedutaan di Jordan,” katanya pada sidang kemuncak itu.

Perdana Menteri berkata pembukaan kedutaan itu akan membolehkan Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin lebih mudah, walaupun beliau mengakui bahawa Israel akan mencari jalan untuk memastikan tidak ada bantuan yang akan sampai ke Palestin.

Dr Mahathir turut mengambil kesempatan untuk menggesa negara-negara anggota NAM yang telah berpindah ke Baitulmuqaddis atau merancang untuk berpindah ke sana, supaya mengkaji semula keputusan itu.

Ketika ini terdapat lebih 30 pejabat diplomat dan pertubuhan antarabangsa di Ramallah serta Gaza di kawasan Palestin.

Palestin ketika ini mempunyai pejabat kedutaan di Kuala Lumpur, manakala Duta Besar Malaysia ke Mesir juga ditauliahkan ke Palestin. -– Bernama

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *