Home » Langit Terbuka » Malaysia tidak kecewa IPC batalkan penganjuran

Malaysia tidak kecewa IPC batalkan penganjuran

Tun M
Perdana Menteri mnegaskan, Malaysia ada polisi dan hak untuk menyuarakan perasaannya berhubung kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. - Foto Che Det

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Malaysia tidak kecewa dengan tindakan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia bertindak atas prinsip dan fakta bahawa Israel adalah “bangsa penjenayah” yang sering melanggar undang-undang antarabangsa tanpa ada pihak yang berani membantah.

“Dia nak batal, batallah. Saya dapati dunia terpaksa ikut Israel. Saya tak fahamlah pasal dunia ada kuasa tetapi dia terpaksa ikut Israel, kita tak ikut,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan Bersama Perdana Menteri di sini.

Pihak IPC baru baru ini telah mengumumkan menarik balik hak penganjuran kejohanan itu di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini kerana desakan Israel yang tidak dibenarkan atlet mereka memasuki negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia ada polisi dan hak untuk menyuarakan perasaannya berhubung kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau menarik perhatian tindakan kejam rejim tentera Zionis menembak kanak-kanak Palestin menggunakan peluru hidup meskipun mereka hanya dilontar dengan batu.

“Amerika Syarikat pernah menghalang rakyat lima negara Islam daripada memasuki negara itu, tiada yang komplen.

“Begitu juga banyak negara di Eropah yang tidak membenarkan kemasukan orang asing, ini amalan biasa mereka, tetapi kita bertindak ada sebab.

“Orang-orang ini (atlet Israel) bukan meminta perlindungan kerana takut, sakit atau susah. Mereka datang dari negara yang tidak patuh kepada undang-undang antarabangsa dan kita kena pertahankan prinsip kita,” katanya.

Dr. Mahathir mengakui beliau pernah membenarkan pasukan hoki malah kanak-kanak Israel datang ke negara ini sekitar tahun 1997 kerana mahu membuktikan kepada mereka bahawa orang Islam bukan pengganas.

Malah katanya, Malaysia sentiasa menyuarakan pandangannya terhadap mana-mana negara dalam pelbagai isu kemanusiaan berdasarkan fakta.

Ditanya kemungkinan Malaysia tidak dapat menganjurkan sukan-sukan bertaraf antarabangsa selepas ini, Dr. Mahathir berkata:”Kita tak boleh anjur Olimpik kita boleh anjur yang lain.” – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *