Home » Citra Yadim » Cadangan tubuh SAF di kalangan Orang Asli

Cadangan tubuh SAF di kalangan Orang Asli

Rosdi (baju merah) ketika mengunjungi Yang Dipertua YADIM bersama Latif (dua dari kiri).

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan dan cadangan untuk menubuhkan Pasukan Sukarelawan Al Falah (SAF)di kalangan masyarakat orang Asli di Pahang.

Timbalan Pesuruhjaya SAF Kebangsaan, Mohd Rosdi Ripin berkata, pihaknya memang berhasrat untuk melahirkan pasukan  SAF dari kalangan Muslim Orang Asli, kerana ia sudah tentu akan jadi lebih dekat dengan golongan tersebut dan budayanya, kerana ahli ahli ialah dari kalangan orang mereka sendiri.

“Sebagai contoh, terdapat 12 buah perkampungan orang Asli di Muadzam Shah, dan program bersama mereka, seperti penyampaian sumbangan diadakan setiap bulan, justeru ini peluang untuk kita berdakwah kepada mereka,” katanya.

Mohd Rosdi berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz di pejabatnya di sini hari ini (28 Januari 2019).

Hadir sama ialah seorang lagi Timbalan Pesuruhjaya SAF Kebangsaan, Ustaz Latif Yunus dan Pengarah Bahagian Khidmat Komuniti dan Masyarakat YADIM, Syahrizal Mat.

Dalam pada itu Rosdi menambah, pihaknya giat berusaha ke arah penubuhan itu, dan antara yang dirancangkan ialah satu program-program keagamaan seperti Forum Perdana melibatkan komuniti Orang Asli di Pahang.

“Untuk tujuan ini, kita berhasrat menjemput Yang Behormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh untuk merasmikannya,” ujar beliau.

Beliau juga berkata, YADIM juga berpeluang melebarkan organisasinya ke negeri Pahang.

Menurutnya, pihak Jabatan Mufti Pahang memberi respond positif sekiranya YADIM sendiri ditubuhkan cawangannya di ngeri itu.

Tambahnya, pihak pihak berkepentingan ada bertanya kepadanya mengapa tiada wakil badan dakwah ini di negeri itu, dan mereka yakin, sekiranya ada, usaha penyelarasan program akan menjadi lebih baik dan lancar.

SAF merupakan sebuah badan beruniform YADIM yang melaksanakan kerja kerja kebajikan dan kemasyarakatan. Terdapat 30 pasukan SAF yang aktif di seluruh negara dengan bilangan ahli menjangkau lebih 1,000 orang.

Sesuai dengan peranan SAF yang kini dalam proses ditambah baik, ianya bakal dijenamakan semula sebagai Sukarelawan Ar Rahmah.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *