Home » Langit Terbuka » Wang kripto tidak penuhi ciri mata wang sebenar

Wang kripto tidak penuhi ciri mata wang sebenar

KUALA LUMPUR: Mata wang kripto lebih menepati ciri sebagai medium pertukaran dan belum menepati ciri sepenuhnya menjadi mata wang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, berkata untuk menjadi mata wang, ia perlu mempunyai tiga ciri utama iaitu sebagai medium pertukaran, nilai penyimpanan dan medium pengukuran.

Beliau berkata, setakat ini, mata wang digital itu hanya menepati satu ciri utama iaitu medium pertukaran.

“Saya merumuskan kripto bukan mata wang, ia diciptakan bersifat alat pertukaran dan tidak sampai ke tahap menjadi mata wang,” katanya pada Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto dan Sistem Kewangan Digital yang dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, semalam.

Pada persidangan itu beliau menyampaikan ucaptama bertajuk Sistem Kewangan Digital: Cabaran dan Hala Tuju.

Mohd Daud menjelaskan, mata wang kripto mempunyai kelebihannya yang tersendiri iaitu mempunyai  kemampuan menjejaki transaksi dilakukan dari mula hingga yang terkini.

Beliau berkata, teknologi mata wang digital itu boleh mengenalpasti pembeli dan penjual serta pemegang semasa.

Sistemnya terbuka dan mempunyai lejar yang diagihkan serta sukar digodam, katanya.

Mengulas mengenai Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan untuk Mata Wang Digital (Sektor 6) yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia semalam, Mohd Daud berkata, beliau menyambut baik dasar itu yang dilihatnya sebagai langkah permulaan kawalan yang baik.

Beliau berkata, dasar yang dikeluarkan itu menjadikan aktiviti pelaburan dalam mata wang digital itu lebih telus dan mampu mengekang aktiviti penggubahan wang haram.

Mohd Daud juga mencadangkan penubuhan agensi pemantau bagi memantau aktiviti penipuan pelaburan di negara ini.

Sementara itu, Felo Pusat Kajian Syariah, Undang- Undang dan Politik (SYARAK) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd Noor Omar, berkata, garis panduan Syariah dilihat lebih sesuai disediakan berbanding mengeluarkan fatwa mengenai mata wang kripto secara tergesa-gesa.

Beliau berkata, apa yang penting ketika ini adalah mempunyai garis panduan Syariah yang mana boleh dan tidak boleh dilakukan membabitkan mata wang digital.

Beliau berkata, tambahan pula isu mata wang kripto perlu dilihat daripada pelbagai aspek sebelum memutuskan hukum mengenainya.

“Kita perlu faham mata wang digital. Kita tidak perlu tergesa-gesa mengeluarkan fatwa, sebaliknya mengeluarkan garis panduan Syariah mengenainya,” katanya.

Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Mata Wang Digital: Falsafah dan Maslahah pada persidangan anjuran IKIM itu. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *