Home » Langit Terbuka » Melaka kaji tambah jumlah jemaah solat Jumaat

Melaka kaji tambah jumlah jemaah solat Jumaat

Keputusan menambah bilangan jemaah Solat Jumaat di Melaka bergantung kepada keputusan MKN bersama Pejabat Mufti dan JAIM minggu depan. - Foto NSTP

AYER KEROH – Kerajaan negeri sedang meneliti untuk menambahkan bilangan jemaah bagi solat Jumaat di negeri ini yang sebelum ditetapkan hanya 40 orang.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bersama Pejabat Mufti Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (JAIM) akan memperhalusi perkara berkenaan sebelum ketetapan mengenainya dibuat selewat-lewatnya minggu depan.

“Kita akan kaji keluasan sesebuah masjid sebagai contoh, Masjid Al-Azim yang besar, mungkin jumlah jemaah boleh ditambah kepada 100 atau 200 orang. Ia bergantung kepada keputusan MKN bersama Pejabat Mufti dan JAIM minggu depan.

Ketetapan sebelum ini masih dikekalkan iaitu jemputan jemaah masih menggunakan kaedah yang sama termasuk sistem penggiliran dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti penjarakan sosial, berwuduk dari rumah, memakai pelitup muka serta membawa sejadah sendiri,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis serah tugas bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob kepada penggantinya, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri, di sini

Pada 29 Mei lalu, Kerajaan Melaka membenarkan 212 masjid termasuk beberapa surau di negeri itu mendirikan solat Jumaat pertama selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu dengan menetapkan hanya 40 jemaah terpilih bagi setiap kariah. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *