Home » Langit Terbuka » MH17: Malaysia komited tegakkan keadilan

MH17: Malaysia komited tegakkan keadilan

Malaysia akan terus bekerjasama dengan ahli Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) dan negara yang lain serta masyarakat antarabangsa dalam memaklumkan perkembangan ini kepada waris terdekat dalam mencari keadilan, kata Menteri Pengangkutan. - Foto Mediaadil.com

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia akan terus berusaha mencari dalang yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 bagi menegakkan keadilan kepada semua mangsa.

Kementerian Pengangkutan menerusi satu kenyataan berkata, walaupun lima tahun tragedi itu berlalu, usaha Malaysia untuk mencari keadilan tidak pernah berkurang.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan ahli Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) dan negara yang lain serta masyarakat antarabangsa dalam memaklumkan perkembangan ini kepada waris terdekat dalam mencari keadilan.

“Sememangnya setiap ahli keluarga dan waris terdekat mangsa dalam tragedi ini perlu mendapat keadilan,” katanya menerusi kenyataan sempena ulang tahun kelima tragedi itu hari ini (17 Julai).

Menurut kenyataan itu, kerajaan berharap dan berdoa supaya ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang di dalam pesawat terbabit akan terus diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

“Kami akan tetap tegas dalam usaha ini dan akan mencari sampai ke lubang cacing sehingga keadilan ditegakkan,” katanya.

MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

Penumpang lain membabitkan rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Bulan lalu, JIT mendedahkan tiga warga Russia dan seorang rakyat Ukraine dikenal pasti sebagai perancang utama insiden Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014.

Semua suspek bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Donetsk People’s Republic ketika kejadian. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *