Home » Langit Terbuka » MOA Kenal Pasti Projek Bermasalah, Tertangguh

MOA Kenal Pasti Projek Bermasalah, Tertangguh

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub

MUAR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengenal pasti semua projek-projek yang menghadapi masalah serta tertangguh di bawah kelolaan agensi dan badan kementerian itu.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan untuk menyemak status terkini projek terbabit dan menyerahkan laporan kepadanya selewat-lewatnya hujung minggu ini.

“Antara agensi telah mula diambil tindakan ialah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas). Beberapa agensi lain turut diberi perhatian serius dan kita cuba selesaikan dalam minggu ini. Sekiranya ianya melibatkan perundangan kita serahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat.

“Kita akan pastikan ‘sampah-sampah sarap’ ini dapat dibuang dengan cepat, mana-mana (agensi dan badan) yang mengganggu matlamat dan objektif kementerian, kita ambil tindakan. Kita mahu ianya dapat diselesaikan dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Tapak Projek Perintis Ternakan Kerang dan Tiram di Kolam Laman Alamjaya, Parit Bulat Laut, di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek-projek yang menghadapi masalah serta tertangguh itu memberi impak negatif kepada usahawan yang terbabit sekali gus mengganggu usaha kementerian untuk mencapai objektif yang dirancang.

Sementara itu, Salahuddin berkata, segala kerenah birokrasi yang masih wujud di agensi dan badan kementerian itu akan dihapuskan bagi mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada pemohon terlibat.

“Kita akan sentiasa berbincang bagi memastikan bantuan cepat sampai dan sampai kepada golongan sasar. Kita akan kurangkan kerenah birokrasi tanpa menjejaskan perkhidmatannya, contohnya projek tiga bulan kenapa tak boleh dipendekkan kepada satu bulan,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *