Home » Langit Terbuka » MOTAC minta kerja pemindahan jenazah Makam Lama dihenti sementara

MOTAC minta kerja pemindahan jenazah Makam Lama dihenti sementara

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, mengikut rekod Jabatan Warisan Negara,, kerja-kerja pemindahan jenazah yang turut melibatkan makam-makam lama itu tidak pernah dibincangkan bagi mendapatkan nasihat dan ulasan kementerian atau jabatan berkaitan - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memohon supaya kerja-kerja pemindahan jenazah yang melibatkan makam-makam lama di Makam Lama, Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan dihentikan sementara.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, mengikut rekod Jabatan Warisan Negara (JWN), kerja-kerja pemindahan jenazah yang turut melibatkan makam-makam lama tersebut tidak pernah dibincangkan bagi mendapatkan nasihat dan ulasan kementerian atau jabatan berkaitan khususnya JWN.

JWN telah mengambil tindakan bagi membantu pemuliharaan tapak/bangunan bersejarah di Kelantan termasuklah makam-makam lama meskipun samada yang telah warta di bawah Akta 645 atau pun tidak.

” Sehuhungan itu kementerian ini melalui JWN telah menghubungi pihak berkuasa berkepentingan bagi membincangkan perkara ini dan memohon kerja-kerja pemindahan jenazah dihentikan buat sementara waktu bagi melaksanakan kajian dan dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas Mohamaddin kajian itu penting bagi mendapatkan dan mengumpulkan fakta berkaitan sejarah dan signifikasi kewujudan makam-makam lama serta tokoh-tokoh yang disemadikan di tanah perkuburan tersebut.

Kajian tersebut akan melibatkan khidmat bantuan daripada pakar-pakar sejarah tempatan termasuklah Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kelantan dan Lembaga Muzium Negeri Kelantan.

Kerja-kerja pemindahan jenazah daripada Makam di Jalan Sultanah Zainab ini ke lokasi baharu iaitu di Lot 358 Jalan Hamzah, Kota Bharu telah dilaksanakan mulai 1 Oktober 2018 sebagaimana maklumat yang terdapat pada kain rentang di tapak perkuburan tersebut.

Sumber tersebut juga memaklumkan bahawa hebahan telah dibuat di masjid-masjid mukim dan Bandar kawasan Kota Bharu bermula pada 1 September 2018.

Tambah beliau, makam dan tanah perkuburan terlibat tidak diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2006 [Akta 645] sekali gus memerlukan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Negeri berkaitan perkara itu.

JWN akan melaksanakan kajian termasuklah dokumentasi ialah dari aspek sejarah dan arkeologi dengan melibatkan pakar-pakar tempatan yang berkaitan termasuklah Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kelantan dan Lembaga Muzium Negeri Kelantan.

Perkara itu perlu perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan untuk melihat kemungkinan dapatan hasil kajian terdahulu akan fakta-fakta sejarah tersebut.

Di samping itu, pengesahan fakta sejarah dan arkeologi diperlukan bagi menjawab berkaitan usia makam lama tersebut termasuklah bukti yang tertulis pada batu-batu nisan.

Terdapat motif ‘Yin-Yang’ atau ‘Yin’ dan ‘Yang’ pada salah satu batu nisan tersebut adalah konsep dalam filosofi Tionghoa yang biasanya digunakan untuk mendeskripsikan sifat kekuatan yang saling membangun satu sama lain dan juga mempuanyai kaitan dengan pedoman perubatan Cina dan menjadi prinsip bela diri yang ada di Tiongkok.

Perkara ini memerlukan kajian lanjut bagi menghuraikan perkara tersebut.-MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *