Home » Langit Terbuka » PBT boleh ambil tindakan sekolah tahfiz tak berdaftar

PBT boleh ambil tindakan sekolah tahfiz tak berdaftar

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) memberitahu, sekolah tahfiz yang berdaftar dengan pejabat agama perlu mendapat kelulusan PBT terlebih dahulu untuk beroperasi - Foto mediaadil.com

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta mengambil tindakan terhadap premis-premis sekolah tahfiz yang tidak mendaftar dengan mana-mana pejabat agama Islam negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa sekolah tahfiz yang berdaftar dengan pejabat agama perlu mendapat kelulusan PBT terlebih dahulu untuk beroperasi.

“Jabatan agama tidak ada kuasa untuk menutup sekolah tahfiz sebab tidak ada dalam undang-undang. Akan tetapi oleh kerana premis itu perlu berdaftar dengan PBT maka mereka (PBT) ada kuasa untuk menutup premis sekolah tahfiz yang tidak berdaftar.

“Jadi perlu kerjasama agensi-agensi lain dan jabatan agama Islam (negeri) agar keselamatan sekolah tahfiz ini terjaga,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang meminta kementerian itu menyatakan langkah-langkah yang akan diambil untuk menjamin pusat-pusat pengajian maahad tahfiz di seluruh negara berdaftar dan terkawal daripada segi keselamatan bangunan, pengajar dan murid-muridnya.

Kata Fuziah sehingga Oktober lalu, sebanyak 815 sekolah tahfiz swasta berdaftar telah direkodkan oleh kementerian manakala kementerian tidak mempunyai rekod bagi sekolah tahfiz yang tidak berdaftar. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *