Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, pada peringkat usia tersebut, seseorang Muslim perlu mendalami Islam dan memantapkan akidahnya terlebih dahulu.

Kata beliau, pendedahan kepada agama lain diakui satu cara kehidupan harmoni dalam negara bermasyarakat majmuk, namun perkara itu lebih sesuai dilaksanakan di peringkat pengajian lebih tinggi seperti di universiti.

“Kalau di peringkat rendah (sekolah) memang tidak sesuai kerana mereka (pelajar) perlu didedahkan asas fardu ain dan akhlak Islam mulia terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas Program Makan Colek dan Sembang Santai Sinar Ramadan, di sini.

Beliau mengulas cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) Sabtu lalu supaya kerajaan memperkenalkan mata pelajaran khusus bagi mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti.

Menurut Presiden MBM, Jufitri Joha, mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memberi peluang kepada pelajar memahami agama lain.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik semalam dilaporkan berkata, pihak kementerian lebih konsisten dengan cadangan sebelum ini yang mahukan setiap sekolah dan universiti lebih kerap mengadakan program rentas budaya.

Mengulas lanjut, Nik Omar berkata, jika berpeluang mengenali agama lain, orang Muslim tidak boleh menyatakan setiap agama sama, sebaliknya perlu yakin bahawa agama yang benar adalah Islam yang diturunkan Allah SWT.

Pada masa sama tegas beliau, mereka masih perlu menghormati pilihan agama dan bangsa lain.

“Apabila rakyat Malaysia fahami agama masing-masing, ia memudahkan wujudnya kesepaduan dan penghormatan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau menambah, cadangan tersebut perlu dibincangkan secara teliti dalam semua aspek oleh pelbagai pihak membabitkan individu, tokoh, serta organisasi berkaitan terutama Kementerian Pendidikan. – Utusan Malaysia