Home » Langit Terbuka » Pemasaran produk halal menerusi bidang IT

Pemasaran produk halal menerusi bidang IT

Datuk Muhadzir Mohamad Isa

SEIRING  keperluan kepada teknologi maklumat (IT) pada era serba canggih ini, kewujudan syarikat perkhidmatan dan portal produk halal, DagangHalal Sdn. Bhd. (DH) telah memastikan imej industri halal terus gah di mata dunia apabila turut ditunjangi elemen itu.

DH yang merupakan sebuah syarikat tempatan yang disenaraikan di Bursa Saham London mempunyai kepakaran dalam bidang IT. Ia menjadikan pemasaran dan pengurusan pelbagai aspek halal bersifat sistematik berteraskan IT.

DH bukan sahaja menawarkan solusi bisnes menerusi laman webnya https://www.daganghalal.com untuk membantu syarikat-syarikat mempromosikan produk halal bahkan juga mencipta sistem pensijilan halal bagi badan-badan pengeluar sijil halal, menyediakan pangkalan data berhubung produk disahkan halal, membimbing peniaga mendapatkan sijil halal selain menghasilkan aplikasi berkaitan halal.

Pengerusi DH, Datuk Muhadzir Mohamad Isa berkata, DH turut membantu syarikat-syarikat berkenaan mempromosikan produk mereka ke luar negara dengan menyertai pameran makanan antarabangsa seperti Anuga di Jerman, FoodEx di Jepun dan Alimentaria di Sepanyol.

“Banyak syarikat telah menyatakan kepuasan mereka tentang perkhidmatan ini kerana berjaya bertemu dengan pemborong-pemborong luar negara yang berminat memasarkan produk mereka,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, DH membangunkan sistem dan aplikasi berkaitan halal seperti e-Halal iaitu sistem aplikasi yang memudahkan pemprosesan permohonan sijil halal dan HVE atau Halal Verified Engine, sebuah pangkalan data berhubung produk halal yang dibangunkan bersama hab halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tambahnya, terkini, DH bakal melancarkan aplikasi Meembar bagi memudahkan pengguna Islam mencari lokasi restoran halal, masjid dan hotel yang boleh diakses di mana-mana dan bila-bila sahaja.

“Keunikan DH ialah kebolehannya menjadi penyampai maklumat berkaitan halal yang berguna kepada masyarakat Islam pada masa yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DH, Ali Sabri Sani Abdullah berkata, Jakim telah menggunakan khidmat kepakaran DH dalam memajukan segmen halal dan membangunkan lagi badan itu.

“Ini menunjukkan kepada masyarakat di luar bahawa Islam juga mementingkan aspek IT sekali gus terhindar daripada dipandang lekeh.

“DH telah membawa imej IT dalam memperluaskan skop-skop halal. Daripada pangkalan data yang menghimpunkan maklumat mengenai 120,000 sijil halal yang sudah dikeluarkan Jakim dan badan-badan pensijilan halal di negara-negara lain yang diiktiraf Jakim, kita dapat mengorak selangkah ke depan dengan menghasilkan aplikasi Meembar,” katanya.

Meembar akan dilancarkan pada 3 April ini di Le Meridien Putrajaya selepas Perhimpunan Agung Autoriti Halal Antarabangsa (IHAB) sempena Persidangan Halal Antarabangsa Malaysia (MyHA) 2018. – KOSMO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *