Home » Langit Terbuka » Peminjam PTPTN tidak boleh lari lagi

Peminjam PTPTN tidak boleh lari lagi

Kadar Potongan Gaji Berjadual seperti dimaklumkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional - Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan lebih RM2,000 sebulan selepas ini tidak boleh ‘culas’ membayar balik selepas skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) dilaksanakan mulai Januari ini.

Ia berikutan skim berkenaan yang seperti sistem Potongan Cukai Berjadual (PCB) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan berhubung terus dengan majikan yang akan menolak gaji pekerja yang mempunyai pinjaman PTPTN secara mandatori.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan kepada majikan untuk membuat potongan gaji mengikut peratus yang ditetapkan dalam skim PGB

“PTPTN bekerjasama dengan agensi berkaitan antaranya LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Jabatan Imigresen untuk mendapat maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam.

“Berdasarkan maklumat diperoleh itu, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratus potongan kepada majikan.

“Majikan akan bertanggungjawab membuat potongan gaji pekerja bagi bayaran balik pinjaman kepada PTPTN,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan mekanisme baharu bayaran balik pinjaman PTPTN di Menara PTPTN di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan kerajaan akan melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus kepada peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Ketika ini PTPTN merekodkan seramai 2.9 juta peminjam dengan 1.4 juta dilaporkan masih culas membayar balik pinjaman masing-masing.
Wan Saiful berkata, majikan yang membantu pekerja membayar pinjaman PTPTN secara PGB akan diberi pelepasan cukai bagi jumlah yang dibayar.

Beliau berkata, kelayakan menikmati pelepasan itu merangkumi apa-apa bayaran balik sama ada dibayar secara ansuran setiap bulan atau bayaran sekali gus.

“Syaratnya, majikan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat atau tuntutan kepada pekerja selepas pembayaran dibuat.

“Majikan mungkin boleh menjadikan penyelesaian hutang PTPTN sebagai insentif kepada pekerja cemerlang atau insentif dalam merekrut pekerja baharu.

“Insentif ini boleh menjadi motivasi kepada pekerja dan pada waktu sama menaikkan reputasi majikan,” katanya.

Terdahulu Wan Saiful berkata, seramai 225,000 peminjam yang berpendapatan kurang RM2,000 akan menikmati pelepasan pembayaran pinjaman mengikut skim PGB.

“Mereka yang bergaji di bawah RM2,000 sebulan tidak perlu membayar pinjaman PTPTN sehingga gaji mereka melepasi RM2,000. Bagi berpendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 jumlah bayaran mereka rendah saja.

“Bayaran balik paling rendah ialah dua peratus yang mana daripada RM2,000 gaji diterima, peminjam hanya perlu bayar RM40 saja.

“Kaedah ini lebih adil kerana ia memastikan mereka yang kurang berada tidak terbeban, manakala yang kaya tidak boleh mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata, pelajar daripada golongan isi rumah B40 dan M40 yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama dan menamatkan pengajian dalam tahun 2019 layak mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman.

“Namun, syaratnya mereka mengikuti pengajian sepenuh masa, menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan dan daripada keluarga B40 dan M40 ketika tamat pengajian,” katanya

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju melupuskan baki hutang peminjam warga emas jika berpendapatan RM2,00 hingga RM4,000 sebulan dan konsisten membayar balik dalam tempoh tiga tahun sebelum mencecah umur 60 tahun.

Wan Saiful turut berkata, pihaknya masih mengkaji desakan supaya yuran pentadbiran PTPTN antara satu hingga tiga peratus dimansuhkan. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *