Peniaga dalam talian perlu bayar zakat jika cukup syarat

0
304
Orang ramai yang layak membayar zakat perniagaan perlu melaksanakan tanggungjawab mereka kerana zakat adalah nadi dalam menggerakkan ekonomi kepada pemberi dan penerima zakat. - Foto Bebas News

KUALA LUMPUR – Peniaga dalam talian, ejen pesan hantar (dropship) dan mereka yang terbabit dalam perniagaan secara dalam talian adalah golongan yang layak dikenakan zakat perniagaan, kata Penolong Pengurus Besar Dakwah Zakat, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Khairul Azhar Samsudin.

 

Beliau berkata peniaga-peniaga kecil perlu melaksanakan tanggungjawab zakat mereka ke pejabat PPZ-MAIWP sekiranya cukup syarat dan nisabnya.

- advertisement -

 

“Dalam tempoh pandemik ini kita dapat lihat bahawa antara sektor ataupun industri yang agak melonjak adalah mereka yang terbabit dengan perniagaan dalam talian,” katanya dalam sesi temu bual yang bertajuk ‘Zakat Mengisi Perut Orang Lain’ melalui Google Meet.

 

Khairul Azhar berkata zakat perniagaan berbeza dengan zakat pendapatan ataupun zakat individu kerana golongan yang wajib membayar zakat perniagaan akan diberikan rebat cukai dan ia termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

 

“Kelebihan bagi mereka yang membayar zakat perniagaan adalah zakat ini terhad kepada 2.5 peratus kepada pendapatan agregat sesebuah syarikat,” katanya.

 

Syarikat yang mempunyai pemilikan usaha sama dengan orang yang bukan Islam pula hanya perlu membayar mengikut pecahan pemilikan bagi pemilik beragama Islam sahaja.

 

“Sebagai contoh, dalam syarikat A terdapat dua pemegang saham Abu dan Ah Chong jadi kedua-duanya mempunyai ekuiti 50 peratus dalam syarikat A.

 

“Secara kesimpulannya, zakat dalam perniagaan ini dikira ke atas Abu sahaja iaitu 50 peratus, kita tidak mengambil kira ke atas Ah Chong kerana syarat wajib zakat tersebut ia haruslah beragama Islam,” katanya.

 

Sehubungan itu, Khairul Azhar menyeru orang ramai yang layak membayar zakat perniagaan agar melaksanakan tanggungjawab mereka kerana zakat adalah nadi dalam menggerakkan ekonomi kepada pemberi dan penerima zakat.

 

Katanya, penerima zakat akan mendapat pelbagai skim bantuan antaranya skim bantuan perniagaan bagi membantu bukan sahaja mereka dan keluarga malah dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

 

Pada 15 November lalu, PPZ-MAIWP telah melancarkan kempen Year End Zakat, YEZ bertujuan menggalakkan orang ramai menyegerakan tanggungjawab berzakat selewat-lewatnya pada 31 Disember ini, bagi mendapatkan rebat cukai pendapatan taksiran 2021 dan menikmati lebih 1,200 hadiah menarik. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here