Home » Langit Terbuka » Penubuhan Universiti Al Quran sedang dikaji dengan serius

Penubuhan Universiti Al Quran sedang dikaji dengan serius

Kerajaan menyambut baik cadangan menaik taraf Darul Quran dan sedang mengkaji dengan serius dan meneliti lanjut kaedah penubuhan Universiti Al-Quran berdasarkan dasar dan polisi sedia ada. - Foto JAKIM

KUALA LUMPUR – Cadangan menaik taraf Darul Quran milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Universiti Al-Quran disambut baik kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ketika ini kerajaan sedang mengkaji dengan serius penubuhan Universiti Al-Quran tersebut.

“Yang Berhormat Dungun mencadangkan agar kerajaan menaik taraf Darul Quran kepada sebuah universiti Al-Quran dengan menggunakan sepenuhnya model wakaf seperti yang telah dilakukan oleh negara-negara lain.

“Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan menyambut baik cadangan tersebut dan sedang mengkaji dengan serius dan meneliti lanjut kaedah penubuhan Universiti Al-Quran berdasarkan dasar dan polisi sedia ada, di samping memastikan ia selaras dengan Rang Undang-Undang Wakaf yang akan dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini kelak,” katanya ketika memberi ucapan Penggulungan Belanjawan 2021 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat pada 23 November.

Dalam pada itu berhubung peruntukan untuk sekolah agama, tahfiz dan pondok dalam Belanjawan 2021, Zulkifli berkata kerajaan amat mengambil berat terhadap pendidikan dan masa hadapan anak-anak yang belajar di institusi-institusi tersebut.

Perkara itu terbukti menerusi peruntukan sebanyak RM29 juta bagi melaksanakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET, di bawah KPT yang akan memberi manfaat kepada 15,000 pelajar institusi tahfiz dan sekolah pondok.

Selain itu ujarnya kerajaan juga memberikan peruntukan khusus sebanyak RM100 juta kepada sekolah agama rakyat, tahfiz dan sekolah pondok dalam belanjawan tahun hadapan. — AlHIjrah Online

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *