Home » Citra Yadim » Peranan semua tarik minat pelajari Bahasa Arab

Peranan semua tarik minat pelajari Bahasa Arab

Nik Omar bersama peserta Muzakarah Jawatankuasa Masjid, Pegawai Syarak dan Guru Takmir Peringkat Daerah Jasin 2019.

JASIN – Semua pihak berperanan untuk menarik minat generasi muda bagi mempelajari Bahasa Arab dan menguasai Al Quran.

Mengulas lanjut, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz berkata, usaha menarik minat mempelajari Bahasa Arab dan giat membaca Al Quran perlu dimulakan dari awal lagi.

Tambah beliau, ia dimulakan dengan galakan dan asuhan ibu bapa serta keluarga sebelum dilatih di sekolah dan institusi pembelajaran lain.

“Seperti cabang pendidikan lain, usaha ini adalah langkah jangka panjang, yang hasilnya kita tidak boleh dapat dalam setahun dua, kalau dilihat di negara maju, mereka menikmati hasil usaha bidang pendidikan yang diusahakan lama dahulu,” ujar beliau.

Nik Omar berkata demikian dalam sesi soal jawab Muzakarah Jawatankuasa Masjid, Pegawai Syarak dan Guru Takmir Peringkat Daerah Jasin 2019 di sini pada 26 Jun 2019. Beliau turut melancarkan Skuad Al Rahmah Jasin dalam program ini.

Muzakarah ini dirasmikan penutupannya oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat.

Dalam pada itu tambah beliau, dalam konteks Jasin atau Melaka, penduduknya mungkin boleh menyuarakan hasrat kepada pihak berkuasa untuk menambah sekolah aliran Arab yang kini semakin mendapat permintaan pelajar.

Menurutnya, wujudnya sekolah aliran berkenaan akan memberi lebih banyak pilihan kepada ibu bapa dan pelajar sendiri.

“Bidang Pendidikan ini tidak statik, apabila tiba masanya ia akan berubah dan dinilai semula.

“Kalau kita boleh ambil contoh Kelantan, mereka mempunyai banyak sekolah aliran ini, saya yakin Melaka mampu berbuat demikian demi memartabatkan bidang pendidikannya,” katanya.

Sementara itu, Md Azhan mengalu alukan kerjasama dan penglibatan YADIM dalam menyebar luas gagasan Rahmatan Lil Alamin di Melaka.

Ujarnya, kebetulan pada tahun ini, JAIM memang menyasarkan untuk bekerjasama dengan lebih banyak pihak luar seperti badan bukan kerajaan (NGO).

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *