Home » Langit Terbuka » Perangi mitos enggan jalani ujian kanser

Perangi mitos enggan jalani ujian kanser

Menteri Kesihatan berkata semua pihak perlu bersama memerangi mitos, informasi tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat enggan jalani saringan atau melewatkan rawatan awal serta percaya kepada terapi atau rawatan yang tiada bukti keberkesanan. - Foto Says.com

KUALA LUMPUR – Rakyat disaran mengambil tindakan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan menjalani ujian saringan dan mengenali tanda-tanda dan gejala awal kanser.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, berkata semua pihak perlu bersama perangi mitos, informasi tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat enggan jalani saringan atau melewatkan rawatan awal serta percaya kepada terapi atau rawatan yang tiada bukti keberkesanan.

“Satu aspek penting yang perlu ditekankan adalah kepentingan pengesanan kanser pada peringkat awal. Dianggarkan 60 peratus kanser di Malaysia dikesan pada tahap yang lewat (Tahap III dan IV).

“Di antara faktor menyumbang kepada perkara ini ialah kurangnya kesedaran mengenai kepentingan menjalankan ujian saringan dan pengesanan awal,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia 2019.

Beliau berkata, kanser kini penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat, dengan tiga jenis tertinggi untuk lelaki adalah kolorektal (16.4 peratus), paru-paru (15.8 peratus) dan nasopharynx (8.1 peratus), sementara wanita, payudara (32.1 peratus), kolorektal (10.7 peratus) dan serviks (7.7 peratus).

“Beban penyakit kanser dijangka meningkat disebabkan oleh prevalen faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) yang tinggi dan populasi menua (aging population) di Malaysia,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya menyediakan perkhidmatan saringan untuk empat jenis kanser iaitu payudara, serviks, kolorektal dan oral di klinik kesihatan kerajaan, sementara saringan bagi individu berisiko tinggi untuk kanser tertentu seperti hati, prostat dan nasopharynx boleh didapati di hospital kerajaan.

Kata beliau, Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang akan mula dilaksanakan Mac 2019 menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

“Manakala Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam diperkenalkan untuk membantu Kumpulan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan untuk 36 jenis penyakit kritikal, yang turut merangkumi kanser,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah memperkenalkan kedua-dua skim ini untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan diperlukan, mengurangkan bebanan kos rawatan dan meningkatkan kualiti hidup Kumpulan B40. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *