Home » Langit Terbuka » Pertumbuhan eksport halal dijangka naik 5% 2018

Pertumbuhan eksport halal dijangka naik 5% 2018

Eksport produk halal dijangka meningkat lima peratus tahun ini daripada RM43.4 bilion tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menjangka eksport produk halal meningkat lima peratus tahun ini daripada RM43.4 bilion tahun lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Jamil Bidin.

Beliau berkata, ini akan disokong oleh permintaan yang tinggi terhadap produk dan bahan makanan dan minuman.

“Kita dapat melihat bahawa eksport produk halal meningkat setiap tahun dan kita akan memastikan bahawa kehadiran kita sebagai pengeksport halal terbesar serta hab halal global diiktiraf dan diakui oleh negara lain,” katanya kepada Bernama.

Pada 2016, eksport produk halal Malaysia bernilai RM42.1 bilion.

Jamil berkata, tiada siapa yang boleh menafikan pencapaian negara sebagai perintis dalam industri halal di rantau ini.

“Untuk menjadi hab halal global, negara perlu mempunyai ekosistem lengkap, dari segi pengeluaran, kewangan Islam, perkhidmatan, insentif dan sokongan daripada kerajaan serta infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini lebih 60 negara menjadikan Malaysia sebagai rujukan mereka mengenai hab halal, sambil menambah bahawa negara bukan Islam seperti Jepun dan Taiwan, berminat dalam industri halal kerana potensi yang besar.

Jamil berkata, industri halal mempunyai pelbagai bidang yang menunggu untuk diterokai tetapi kurang jumlah penggiat berbanding industri lain.

Sementara itu, beliau berkata, industri halal negara perlu bersedia untuk Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), sambil menambah bahawa HDC akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat swasta dalam meningkatkan inovasi.

Penggiat industri perlu memanfaatkan IR 4.0 dan ekonomi digital kerana ia akan membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan, katanya.

Sementara itu, Jamil berkata, HDC akan menganjurkan Persidangan Halal Sedunia 2018 (WHC) pada 4 dan 5 April 2018 di sini, sempena Minggu Halal Sedunia.

WHC, yang diadakan setiap tahun, adalah persidangan kepimpinan pemikiran antarabangsa, mengumpul wakil kerajaan, pemimpin perniagaan, peserta industri halal, usahawan, sarjana dan pemegang kepentingan dengan matlamat mempercepat pertumbuhan industri halal global.

Persidangan itu, yang bertema ‘Ke mana Ekonomi Seterusnya’, telah menarik lebih 1,000 peserta daripada 49 negara seperti Jepun, Taiwan, Thailand, Indonesia, Brazil dan negara Eropah.

Jamil berkata, WHC telah berjaya menyalurkan pertimbangan dan resolusi yang penting yang menyumbang ke arah meningkatkan peranan utama Malaysia dalam pembangunan industri halal global.

Selain daripada WHC, Minggu Halal Sedunia juga akan menampilkan dua acara lain, iaitu Pameran Halal Antarabangsa Malaysia dan Konvensyen Badan-Badan Pensijilan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia .

Sejak penubuhannya pada 2006, HDC menjadi tumpuan dalam menyelaras dan membantu pembangunan dan promosi industri halal Malaysia, bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dalam mengubah landskap halal dengan pesat. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *