Home » Langit Terbuka » MyHAC martabatkan industri halal negara

MyHAC martabatkan industri halal negara

SEREMBAN: Pembinaan Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC), makmal halal pertama seumpamanya di dunia, membuktikan kerajaan mengutamakan pelaksanaan dan pencapaian dalam pembangunan Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembinaan makmal analisis halal itu adalah satu inisiatif yang baik bagi memartabatkan industri halal di persada antarabangsa.

Katanya, pensijilan halal yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri menggabungkan kedua-dua elemen iaitu hukum syarak serta sains teknologi.

“Ia dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan dan dasar syariah selain jaminan dari aspek keselamatan dan kebersihan sesuatu produk.

“Tahap integriti yang tinggi dalam memastikan produk yang diberikan sijil pengesahan halal Malaysia bukan sekadar penelitian terhadap dokumen dan pengauditan di lapangan semata-mata, tetapi turut merangkumi analisis secara saintifik di makmal bagi pengesahan ramuan yang tidak diketahui status halalnya.

“Pembinaan MyHAC ini dapat membantu proses pensijilan halal supaya dapat dilaksanakan dengan lebih cekap,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian MyHAC di Bandar Enstek di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustafa dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Awaludin Said. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Ulama galakkan kesederhanaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Majlis Ulama Asia memainkan peranan penting dalam mempromosi kesederhanaan melalui tafsiran teks agama yang seimbang, memperjuang toleransi dan membimbing umat

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *