Home » Langit Terbuka » PKP Pemulihan mulai 10 Jun, rentas negeri dibenarkan

PKP Pemulihan mulai 10 Jun, rentas negeri dibenarkan

Perdana Menteri berkata, lebih banyak kelonggaran akan diberikan, termasuk perjalanan rentas negeri, kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan nanti . - Foto MSN

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir 9 Jun ini digantikan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini.

Perdana Menteri berkata, keputusan melaksanakan PKPP itu dibuat selepas mendapati kadar kes dalam kalangan warga tempatan semakin baik dan terdapat tren penurunan kes.

Katanya, lebih banyak kelonggaran akan diberikan, termasuk perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun ini, kecuali di kawasan Perintah Kawalanawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Mereka yang ingin menziarahi ibu bapa tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada 7 Jun.

“Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat sesak semasa pulang ke kampung,”katanya.

Beliau berkata, hampir semua aktiviti sosial, termasuk keagamaan akan dibuka semula secara peringkat.

Katanya, waktu operasi perniagaan akan kembali seperti biasa dan aktiviti komersial bukan dalam premis juga dibenarkan.

Beliau memberi contoh lawatan ke muzium, ‘indoor busking’, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi, termasuk kolam pancing komersial serta penggambaran filem.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.

“Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, ‘food truck’ dan gerai makan juga akan dibenarkan.”

Muhyiddin berkata, aktiviti sukan dan rekreasi, termasuk latihan persediaan serta aktiviti sukan tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah dan konvoi motosikal dibenarkan.

Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.”

Katanya, aktiviti pelancongan domestik turut dibenarkan, tetapi pelancongan ke luar negara dilarang kerana sempadan negara masih ditutup.

Beliau berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban dibenarkan, tetapi tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam.

Muhyiddin berkata, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP selepas Kementerian Pendidikan mendapat nasihat Kementerian Kesihatan.

Katanya, beberapa aktiviti atau sektor masih dilarang, termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, refleksologi, karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah ramai, kenduri, rumah terbuka serta aktiviti lain melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan SOP. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *