Home » Langit Terbuka » PM sedia bawa usul pinda RUU berkaitan Mahkamah Syariah ke Parlimen

PM sedia bawa usul pinda RUU berkaitan Mahkamah Syariah ke Parlimen

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Kenduri Rakyat dan Perasmian Masjid Jamek Tengah Berapit, Bukit Mertajam. FOTO DANIAL SAAD

Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk mengemukakan cadangan bagi memperbaiki mutu mahkamah syariah.

Ia selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Mesyuarat MKI kali ke-71 di Putrajaya semalam, sebagai usaha menurunkan suhu hangat politik berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengisytiharkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan batal dan tidak sah.

Anwar berkata, kerajaan bersikap terbuka supaya cadangan semua pihak diteliti MKI dan dibawa untuk perkenan Raja-Raja Melayu sebelum dijadikan Rang Undang-Undang (RUU). Malah katanya, beliau bersedia membawa usul meminda RUU berkaitan Mahkamah Syariah ke Parlimen bagi memperkasakan mutu mahkamah itu sekali gus memartabatkan agama Islam.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi semalam sudah beri taklimat awal, depan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) dan dalam mesyuarat saya sudah setuju jawatankuasa ini bersidang.

“Jumpalah siapa pun tidak kira ulama, mufti menteri besar semua negeri meskipun berbeza parti (politik) supaya semua dapat mengemukakan pandangan masing-masing.

“Kita (kerajaan) ambil sikap terbuka dalam hal ini supaya cadangan semua pihak itu diteliti MKI dan dibawa untuk perkenan Raja-Raja Melayu sebelum dijadikan RUU untuk dibawa ke Parlimen bagi mendapatkan persetujuan Ahli Parlimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Tengah Berapit di sini, hari ini.

Beliau meminta supaya tidak membuat tafsiran serta fitnah politik berhubung bantahan Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan yang dibuat seorang peguam dan anaknya, baru-baru ini.

“Dalam hal ini ramai kata dia (Anwar) sekular, liberal kerana ini tidak betul dan semak dahulu sebelum bercakap.

“Orang lain kata tak apa tapi kalau orang Permatang Pauh yang kata saya sedih sedangkan bantahan itu dikemukakan, sebelum saya dilantik menjadi Perdana Menteri dan kenapa ketika itu pihak sebelah (pembangkang) tidak lakukan apa-apa protes macam sekarang.

“Apa-apapun dalam hal ini kita tidak perlu gaduh. Apa yang perlu kita buat sebenarnya beri ruang untuk baiki serta perkasakan lagi mutu mahkamah syariah,” katanya.

Jelasnya, setiap negeri mempunyai had untuk merangka undang-undang namun ia tidak boleh melangkaui kuasa Persekutuan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *