Home » Langit Terbuka » Program Mentor-mentee bantu tingkat peratusan pelajar minat STEM

Program Mentor-mentee bantu tingkat peratusan pelajar minat STEM

Prof Datuk Dr Noraini Idris

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Mentor-mentee adalah antara program yang mula diiktiraf sebagai inisiatif yang perlu disokong ke arah meningkatkan peratusan pelajar menceburkan diri dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kata Penggerak STEM Kebangsaan.

Pengerusinya Prof Datuk Dr Noraini Idris berkata, impak positif hasil inisiatif program mentor-mentee mula kelihatan dengan laporan sains terkini menunjukkan tahap pencapaian 23 peratus pelajar menceburkan diri dalam bidang sains tulen berbanding 21 peratus tahun lepas.

“Pencapaian (23 peratus) ini merujuk kepada peratusan pelajar Malaysia yang memasuki bidang sains tulen di tingkatan empat tahun berdasarkan keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2017.

“Selepas bertahun-tahun tiada peningkatan, kini peratusannya menunjukkan kenaikan,” kata beliau dalam sidang akhbar di luar majlis ‘Muzakarah Pakar Pengajian Islam Integrasi: Ke Arah Penyepaduan Ilmu Agama dan Sains’ di sini hari ini.

Muzakarah sehari itu anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Noraini berkata program mentor-mentee kendalian Penggerak STEM Kebangsaan sejak 2016 merupakan suatu program yang memberi perkhidmatan secara berkelompok yang berbentuk hubungan antara pelajar tingkatan 1-3 yang dikawal sebagai mentee manakala tenaga mentor dari kalangan para pelajar sains dari pelbagai universiti.

Fasilitator dari Penggerak STEM Kebangsaan adalah termasuk pemain industri kalangan sektor swasta, tambah Noraini, yang turut merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selain mentor-mentee yang berkisar eksperimen dan pemahaman asas-asas STEM, Noraini berkata Penggerak STEM Kebangsaan turut menganjurkan program kerjaya, pertandingan dan karnival STEM di pusat-pusat perniagaan.

Beliau berkata peratusan pelajar yang menceburkan diri dalam bidang STEM masih rendah dan jauh dari nisbah sasaran yang telah ditetapkan Kerajaan pada 1967 iaitu 60 (sains):40 (bukan sains) dan menyifatkan penganjuran muzakarah anjuran IKIM adalah sangat baik untuk menyatukan usaha-usaha memperkasa pendidikan STEM.

Dalam ucapannya pada permulaan muzakarah, Noraini berkata Pengajian Islam yang diintegrasikan dengan pengajian STEM merupakan suatu bentuk usaha yang unik dan perlu diarus-perdanakan.

Beliau berkata pendekatan multidisiplin dan transdisiplin melibatkan bidang Pengajaran lslam dan bidang-bidang di bawah STEM wajar dirancakkan pada peringkat pembangunan kurikulum di peringkat universiti.

“Usaha pengwujudan Pengajian Islam yang berintegrasi dengan pendidikan STEM sebenarnya adalah selari dengan kegemilangan tamadun Islam pada masa dahulu. Sejarah menunjukkan bahawa kejayaan Muslim pada zaman keemasan Tamadun Islam digerakkan oleh penguasaan dalam bidang-bidang yang hari ini kita kenal sebagai STEM.

“Pelbagai ciptaan dan inovasi yang berasaskan kepada pengetahuan STEM telah dipelopori oleh cendekiawan Islam yang turut menguasai bidang ilmu agama,” tambah Noraini.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin berkata IKIM menyedari bahawa sebenarnya telah ada sambutan daripada pelbagai pihak berhubung perkara integrasi ilmu agama dan sains.

“Pelbagai bentuk usaha penyepaduan dijalankan dalam bentuk pengajian mahupun penyelidikan, namun, usaha-usaha ini berlaku secara terpisah. Oleh yang demikian, keperluan kepada penganjuran muzakarah ini adalah untuk melihat usaha-usaha yang terpisah ini dan membawanya ke dalam satu perbincangan.

“Dengan penganjuran muzakarah ini, diharapkan kita dapat mewujudkan jaringan kerjasama pelbagai institusi ke arah penyepaduan ilmu agama dan sains. Pada masa yang sama, kita dapat bertukar idea, kepakaran dan pandangan bagi memperbaiki dan memantapkkan usaha-usaha menyepadukan ilmu agama dan sains,” kata beliau dalam ucapan pada muzakarah itu. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *