KUALA LUMPUR – Seramai 127 belia menyertai Seminar Pemerkasaan Rakan Belia Masjid 2026 Wilayah Persekutuan Zon 3 yang melibatkan peserta dari Cheras, Titiwangsa, Bukit Bintang dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur pada 17 Oktober.
Program anjuran Bahagian Khidmat Sosial YADIM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Petsekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Majlis Belia Malaysia ini menyasarkan jawatankuasa masjid dan surau dalam kalangan belia dan beliawanis.
Seminar ini menampilkan beberapa pengisian utama seperti slot Hala Tuju Rakan Belia Masjid oleh Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM, Haji Ab Razak Aripin, slot Kepimpinan Rakan Belia Masjid dan Pengupayaan Organisasi Rakan Belia Masjid, serta Plan of Action Rakan Belia Masjid oleh Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM, Haji Ahmad Saparudin Yusup.
Melalui pengisian tersebut, peserta berpeluang merangka pelan tindakan berdasarkan keperluan masjid dan surau masing-masing, di samping memperkukuh ilmu serta kemahiran untuk merancang dan melaksanakan program yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Seminar ini diharapkan dapat melahirkan kepimpinan belia yang berwawasan dalam mengimarahkan masjid dan surau. Hubungan erat antara golongan belia dengan kepimpinan masjid juga penting bagi menjamin kesinambungan kepimpinan serta kelestarian institusi masjid dan surau, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.



KOMEN