Home » Langit Terbuka » Rindu pada suami tak pernah pudar

Rindu pada suami tak pernah pudar

Intan Maizura Othman meluahkan rasa rindunya kepada suaminya, Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan.

SHAH ALAM 8 Mac – Perasaan rindu pada suaminya, Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan, pramugara pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang tanpa jejak bersama 238 mang­sa yang lain tidak pernah sedikit pun pudar meskipun kehilangan itu sudah empat tahun berlalu.

Bagi Intan Maizura Othman, walaupun reda dengan ketentuan Allah SWT, kehila­ngan orang tersayang dalam keadaan sedemikian amat menyakitkan dan ia terbukti apabila dia memuat naik di laman Facebook dan Twitter­nya, MH370 we love you, we miss you.

“Reda bukan bermakna tiada tangisan tetapi penerimaan tanpa…,” tulis Intan Maizura yang kini membesarkan dua cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan Mohd. Hazrin di Twitternya sebagaimana dipetik di sini hari ini.

Sementara itu di Kuala Langat, adik kepada salah seorang penumpang MH370, Muzi Md. Yusop, Zurihan berkata, seluruh ahli keluar­ganya kini reda dengan ‘pemergian’ abangnya meskipun kehilangan pesawat tersebut kekal misteri sehingga kini.

“Kami sekeluarga termasuk ibu dan keluarga abang saya reda dengan apa yang berlaku. Empat tahun bukanlah satu tempoh yang lama untuk kami melupakannya, kami ti­dak me­lupakannya dan beliau sen­tiasa dalam ingatan kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas Zurihan, selepas peristiwa yang mengejutkan dunia tersebut, pihak berkuasa sentiasa mengemas kini segala maklumat tentang operasi pencarian kepada keluarganya.

Sehubungan itu, dia berharap agar operasi pencarian MH370 yang disambung semula pada pertengahan bulan Januari lalu akan menjawab segala misteri berhubung tra­gedi tersebut.

“Sebagaimana ahli keluarga 238 penumpang dan kru pe­nerbangan yang lain kami juga berharap pencarian yang sudah mencakupi lebih 16,000 kilometer persegi itu bakal membuahkan hasil,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *