Home » Langit Terbuka » Sekolah KITA untuk kanak-kanak pelarian Syria

Sekolah KITA untuk kanak-kanak pelarian Syria

Penyanyi Faizal Tahir hadir pada majlis perasmian Pusat Bimbingan Alternatif CSM atau Sekolah KITA di Bangi. Foto : Malaysia Gazzete

 

BANGI 14 Feb. – Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM) menubuhkan pusat bimbingan alternatif percuma bagi memberikan perkhidmatan pendidikan akademik holistik kepada lebih 80 kanak-kanak pelarian Syria berusia lima hingga 12 tahun di negara ini.

Pusat yang dikenali sebagai Pusat Bimbingan Alternatif CSM atau Sekolah KITA merupaka alternatif pendidikan yang ketiga dibuka oleh Cinta Syria Malaysia (CSM) selepas di Jordan dan Turki.

Pengerusi CSM, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman berkata, pusat bimbingan alternatif itu bertujuan untuk memberikan perkhidmatan pendidikan lebih baik kepada anak Syria di negara ini.

“Pendidikan adalah elemen penting yang kadangkala dipandang sepi. Kita tidak menafikan hak mereka untuk diberi sumbangan di dalam bentuk makanan dan pakaian, tetapi pendidikan memungkinkan mereka untuk kekal hidup sampai bila-bila.

“Pusat yang pertama di negara ini bagi memberikan pendidikan khusus untuk kanak-kanak Syria bagi memberikan jaminan masa depan lebih cerah kepada mereka,” katanya.

Majlis perasmian Sekolah KITA berlangsung semalam yang turut dihadiri penyanyi popular Faizal Tahir.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sejati itu pernah mengikuti CSM ke sempadan Jordan untuk misi kemanusiaan sebelum ini.

Sekolah KITA untuk kanak-kanak pelarian Syria

Faizal Tahir pernah mengikuti CSM ke sempadan Jordan untuk misi kemanusiaan sebelum ini.

Ahmad Musa menambah, bagi memastikan kanak-kanak itu dapat meneruskan persekolahan seperti biasa, pembelajaran akademik termasuk Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Al Quran, Agama Islam dan Arab adalah diwajibkan.

Jelasnya, pusat bimbingan dua tingkat mula beroperasi awal tahun ini melengkapi keperluan pendidikan kanak-kanak pelarian Syria di negara ini dan pihaknya mensasarkan sehingga 100 pelajar.

“Selain itu, pusat ini juga mempunyai enam guru berkelulusan universiti dengan kepakaran tersendiri untuk memberikan pengajaran menyeluruh diperlukan kanak-kanak di pusat ini,” katanya.

Ahmad Musa berkata, pusat itu menggunakan sukatan pelajaran The International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang dibangunkan di Cambridge.

Silibus itu kurikulum pengajiannya diajar mengikut standard IGCSE bagi membolehkan semua pelajarnya memasuki universiti selepas menduduki peperiksaan khas ketika berusia 16 tahun.- MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *