Home » Langit Terbuka » Sidang Kemuncak KL orak langkah memperkasa umat Islam

Sidang Kemuncak KL orak langkah memperkasa umat Islam

 Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 akan memberi manfaat kepada ummah dalam bidang seperti teknologi tinggi, kolaborasi media, pusat kecemerlangan penyelidikan saintifik, jaminan makanan serta kepimpinan belia, kata Perdana Menteri. - Foto RTM

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 yang berakhir hari ini, berjaya menghasilkan inisiatif konkrit untuk mengangkat umat Islam dan menangani beberapa kebimbangan masyarakat seperti Islamofobia.

Walaupun terdapat kritikan, Perdana Menteri yang juga pengerusi sidang berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan persidangan empat hari itu bermula pada 18 Dis, dan tegas dengan kepercayaannya bahawa sidang kemuncak itu dapat memberikan sumbangan positif kepada permasalahan membelenggu masyarakat Islam global.

“Kami sekali lagi menegaskan bahawa sidang kemuncak ini tertumpu pada objektifnya mencari penyelesaian dan program yang kami percaya dapat membantu dan akhirnya menyelamatkan ummah daripada penderitaan yang dialami mereka sekarang,” katanya pada sesi penutup persidangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Pemimpin sealiran dengan Dr Mahathir, turut menyokong beliau dengan menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani, serta perwakilan di semua peringkat dari 56 negara Islam.

Bukan sekadar pentas untuk omong kosong, inisiatif-inisiatif yang dihasilkan oleh sidang kemuncak itu akan memberi manfaat kepada ummah dalam bidang seperti teknologi tinggi, kolaborasi media, pusat kecemerlangan penyelidikan saintifik, jaminan makanan serta kepimpinan belia.

Umat Islam kini berdepan dengan penindasan, pemenjaraan, ditempatkan dalam kem tahanan serta terjejas dengan perang saudara yang mengakibatkan kemusnahan bandar dan negara sehingga mendorong kepada penghijrahan besar-besaran umat Islam ke negara-negara bukan Islam.

Umat Islam turut menghadapi peningkatan Islamofobia dan amalan tidak rasional yang melanggar rukun Islam tetapi menyebarluaskannya atas nama Islam.

Dr Mahathir tanpa putus asa berusaha menjelaskan bahawa Sidang Kemuncak KL tidak bertujuan untuk mengambil alih peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tetapi berfungsi sebagai kerjasama strategik untuk melengkapi usaha yang dilakukan oleh gabungan negara Islam yang sedia ada, seperti OIC dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8). – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *