Home » Langit Terbuka » Terengganu perkasa lagi industri pelancongan Islam

Terengganu perkasa lagi industri pelancongan Islam

Antara tarikan pelancongan Islam di Terengganu. - Foto Agoda

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu akan memperkasakan lagi industri pelancongan Islam di negeri itu dengan menjejak kembali peninggalan sejarah ulama-ulama Islam termasuk yang terdapat di sekitar Taman Tamadun Islam (TTI) dan Sungai Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, antara yang akan diketengahkan ialah rumah dan surau peninggalan seorang ulama dan pejuang yang menentang penjajah Inggeris sekitar tahun 1920-an, iaitu Haji Abdul Rahman Limbong, di Kampung Beladau Kolam di sini.

“Kita perlu lakukan beberapa kajian dan akan berbincang dengan pihak Muzium Negeri Terengganu mengenai rumah dan surau peninggalan Haji Abdul Rahman Limbong. Kita akan jadikan kawasan ini sebagai produk pelancongan dan pada masa sama memelihara nama besar Haji Abdul Rahman Limbong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja menjejaki lokasi-lokasi sejarah ulama Islam yang terdapat di sekitar Sungai Terengganu dan Sungai Nerus, di sini.

Katanya, pada masa ini penduduk kampung telah pun menjalankan aktiviti keagamaan di Surau Abdul Rahman Limbong seperti program ratib khas setiap minggu yang boleh diketengahkan kepada pelancong yang menyelusuri Sungai Terengganu dengan menaiki bot.

Beliau berkata, antara yang boleh dipromosikan sebagai salah satu produk pelancongan Islam ialah makam ulama terkenal dari Terengganu, Syeikh Abdul Malek atau lebih dikenali Tokku Pulau Manis, yang terletak di Pulau Manis.

Selain itu, katanya, pelancong juga boleh menikmati pelbagai produk pelancongan berasaskan komuniti sepanjang menyelurusi Sungai Terengganu dan Sungai Nerus seperti Pengkalan Banggol Cempedak dan Kalang Warisan. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *