Home » Langit Terbuka » Tiada kenaikan tol tahun depan

Tiada kenaikan tol tahun depan

Menteri Kewangan berkata, pembekuan kenaikan kadar tol itu membabitkan implikasi kewangan kerajaan berjumlah RM994.43 juta. - Foto NST

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan tiada kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya seluruh negara tahun depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pembekuan kenaikan kadar tol itu membabitkan implikasi kewangan kerajaan berjumlah RM994.43 juta.

Beliau berkata, Kabinet pada 12 Disember lalu bersetuju membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya seluruh negara yang tolnya layak dinaikkan pada 2019.

“Ia adalah satu penambahbaikan ketara kepada pengumuman Belanjawan 2019 pada 2 November lalu yang hanya membekukan semua kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar saja untuk tahun depan.

“Implikasi kewangan itu membabitkan pembekuan kenaikan kadar tol merangkumi 21 lebuh raya; kadar tol bagi bas di lapan lebuh raya berasingan dan pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang (Jambatan Pertama Pulau Pinang), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) serta di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, pembekuan komprehensif itu berasaskan kepada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan untuk meringankan beban sara hidup rakyat.

Beliau berkata, kerajaan menganggarkan pembekuan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya membabitkan kos bayaran pampasan sekitar RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya.

“Manakala, pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Lebuhraya Laluan Kedua di Johor pula membabitkan bayaran pampasan sebanyak RM20 juta setahun,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *