Home » Langit Terbuka » Tidak benar kedudukan, kesucian Islam terancam

Tidak benar kedudukan, kesucian Islam terancam

Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia telah mengambil tindakan tegas untuk membendung gejala tidak sihat seperti penghinaan terhadap Rasulullah, Islam dan raja-raja di media sosial, dengan menyiasat dan menahan individ terlibat serta membawa mereka ke muka pengadilan, tegas Menterinya. - Foto FMT

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, dakwaan bahawa kedudukan dan kesucian agama Islam terancam di bawah pentadbiran kerajaan adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan telah termaktub dalam Perlembagaan yang tidak akan diubah.

Tegasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan tegas untuk membendung gejala yang tidak sihat seperti penghinaan terhadap Rasulullah, agama Islam dan raja-raja di media sosial, dengan menyiasat dan menahan individu-individu terlibat serta membawa mereka ke muka pengadilan.

Tambah beliau, setakat ini sebanyak 53 kes telah disiasat dan daripadanya lapan individu telah dituduh di mahkamah berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

“Ada pihak yang mendakwa kononnya kedudukan Islam di bawah pentadbiran sekarang semakin terancam, sehinggakan ada pihak akan menganjurkan satu perhimpunan pada hujung minggu ini yang saya lihat ada kecenderungan untuk mengapi-apikan sentimen kaum dan agama terutamanya dalam kalangan umat Islam.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, KDN menerusi PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menghina mana-mana agama. Tindakan tegas yang diambil oleh pihak polis Alhamdulillah telah berjaya mengekang perbuatan menghina agama daripada menular dalam masyarakat kita,” katanya.

Muhyiddin berkata, rakyat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum dan agama adalah dinasihatkan supaya sentiasa memelihara keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

“Janganlah kita mudah terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak yang mengambil kesempatan untuk meraih laba politik dengan sengaja mengapi-apikan sentimen kaum dan agama,” katanya.

Tambah Muhyiddin, selepas 60 tahun merdeka, rakyat perlu menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, justeru mana-mana pihak tidak seharusnya membangkitkan apa-apa isu yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati atau keresahan baik yang berbentuk keagamaan ataupun perkaumanan untuk tujuan tertentu ataupun politik.

“Kita tahu di Malaysia sudah ada sejarah yang lampau, kalau ia (isu agama dan perkauman) dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, ia boleh mencetuskan keresahan di kalangan rakyat, perkara yang akan berlaku adalah suatu yang tidak baik.

“Kalau keresahan wujud ketidakstabilan, maka mungkin negara ini akan terancam dan orang luar tak berasa selamat, apa lagi pelabur-pelabur asing tidak berminat untuk datang ke negara kita, akhirnya membawa kesan buruk kepada ekonomi Malaysia , dan rakyatlah akhirnya menanggung beban,” katanya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *