Home » Langit Terbuka » Tolak jelajah Zakir Naik jika cetus kontroversi, kata pakar deradikalisasi

Tolak jelajah Zakir Naik jika cetus kontroversi, kata pakar deradikalisasi

Pakar deradikalisasi di Kementerian Dalam Negeri berkata, jika jelajah itu diserapi unsur yang boleh mengugat keharmonian maka ia perlu ditolak

PETALING JAYA – Siri jelajah penceramah terkenal dari India, Dr Zakir Naik dan isteri beliau ke Perlis bulan depan perlu bebas daripada unsur kontroversi sehingga boleh menjejaskan keharmonian kaum, kata pakar anti keganasan.

Pakar deradikalisasi di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, jika jelajah itu diserapi unsur yang boleh mengugat keharmonian maka ia perlu ditolak.

“Saya telah melihat tajuk-tajuk yang dirancang disampaikan oleh Dr Zakir dan isteri beliau dalam jelajah itu, nampaknya ia tidak kontroversi dan agak generik.

“Bagi saya selagi ia tidak mencetuskan isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian kaum, maka tiada masalah. Akan tetapi figur yang kontroversi seharusnya tidak diketengahkan kerana ia boleh mendatangkan persepsi buruk dan mengancam kestabilan masyarakat,” katanya kepada FMT.

Mizan, yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, pendekatan dakwah Zakir tidak begitu sesuai dengan latar belakang masyarakat dan persekitaran di Malaysia.

“Saya percaya, budaya, pemikiran dan cara dari luar tidak perlu dibawa masuk ke dalam negara ini. Hanya kita yang benar-benar faham cara dan pemikiran masyarakat kita, orang luar tidak akan dapat memberi pandangan yang sesuai dengan sensiviti umum masyarakat kita.

“Lebih baik jika pemikiran luar itu disesuaikan terlebih dahulu dengan konteks negara kita dan dikembangkan oleh orang kita sendiri,” katanya.

Mizan turut melahirkan rasa bimbang mengenai keterbukaan masyarakat Malaysia yang mudah menerima pandangan daripada pihak luar, apatah lagi mereka yang mempunyai agenda tersembunyi kerana ia boleh mendedahkan negara kepada risiko jika ia tidak dilakukan secara berhati-hati.

“Kita juga harus meneliti agenda tersembunyi yang mungkin dibawa oleh pihak luar. Kita boleh menerima kesan buruk jika tidak berhati-hati dengan ‘wider connection’ dan agenda tersembunyi sesetengah pihak,” katanya.

Zakir Naik dan isteri beliau, Farhat dijadual memulakan siri jelajah 5 hari ke Perlis dengan sokongan sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan jabatan agama Islam negeri, selain beberapa agensi dan kumpulan Islam di negeri itu.

Zakir mempunyai hubungan baik dengan pemimpin kerajaan sebelum ini dan diberikan status pemastautin tetap.

Beliau dan Farhat, yang kini tinggal di Malaysia sewaktu pihak berkuasa India menyiasat dakwaan penglibatannya dalam kegiatan pengubahan wang dan mempromosi keganasan, akan berucap di masjid, pusat Islam dan universiti di negeri itu. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *