Home » Citra Yadim » Tolong Selamatkan Kamek!

Tolong Selamatkan Kamek!

LONG BUSANG – Di saat umat Islam sedang membuat persiapan terakhir menjelang 1 Syawal yang lalu, saudara kita di sini telah diuji dengan cabaran berat apabila perkampungan mereka dilanda banjir teruk.

Hampir 80 peratus kawasan kampung telah ditenggelami air, menyebabkan 100 daripada 123 keluarga terjejas, selain turut merosakkan Sekolah Kebangsaan Long Busang. 23 daripada mangsa yang terjejas merupakan keluarga Muslim.

Musibah yang melanda sehari sebelum 1 Syawal ini, sangat besar hingga ada kawasan di mana air banjir hampir mencecah bumbung kediaman penduduk.

Prihatin dengan kejadian melanda, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sarawak telah bekerjasama dengan dua buah badan bukan kerajaan dari semenanjung iaitu Muslim Volunteers Malaysia (MVM) dan Trekers Humanitarian Volunteers (THV).

Dengan tagline ‘Tolong Selamatkan Kamek! Long Busang Kamek Datang’, YADIM diketuai Penolong Pegawai YADIM Sarawak, Zamri Bali, serta Ramzi Razak dan Afsan Mohamad selain masing masing 3 sukarelawan dari MVM dan THV telah memulakan program yang menyasarkan untuk menyediakan agihan sumbangan pasca banjir sebanyak 120 set makanan asasi kepada mangsa pada 5 Julai lalu.

Selesai usaha koordinasi bantuan, pasukan sukarelawan ini memulaan perjalanan dari Kuching menuju ke Long Busang menerusi sungai dan jalan balak yang mengambil masa 14 jam. Pasukan bantuan singgah di Kapit keesokan harinya untuk membeli dan menyediakan pek bantuan.

Selesai urusan di Kapit, pasukan sukarelawan yang mengangkut pek bantuan menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda bergerak ke Long Busang jam 3 petang, juga menggunakan jalan balak, sebelum tiba sekitar jam 9 malam dan di sambut oleh Ketua Kampung Long Busang, Yusof Nawawi.

Tanpa melengahkan masa, pasukan terus memulakan perbincangan dengan ketua kampung bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan banjir dan perlaksanaan agihan sumbangan, seterusnya melakukan kerja-kerja membungkus barang-barang sumbangan untuk diagihkan pada keesokkan harinya.

Program pada 7 Julai dimulakan dengan lawatan kepada para penduduk sebelum diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada guru guru di Sekolah Kebangsaan Long Busang yang turut terjejas.

Pada sebelah petangnya pula, diadakan aktiviti riadah bersama kanak kanak di kawasan bencana.

Aktiviti penyampaian sumbangan kepada 100 keluarga dilaksanakan selepas selesai tazkirah maghrib Maghrib di Masjid Darul Rahmah yang disampaikan oleh Daie YADIM untuk kawasan Kapit, Ustaz Abdul Rahman Abdullah dan solat Isyak berjemaah.

Penyampaian sumbangan yang turut meliputi golongan bukan Islam, membuktikan YADIM Sarawak mengambil pendekatan rahmah, seperti yang diusahakan kerajaan menerusi gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Selesai menyantuni mangsa mangsa banjir, pasukan bantuan bergerak balik ke Kapit pada pagi 8 Julai dan bermalam di Sibu. Mereka turut melaksanakan post mortem program dan membuat perancangan bentuk kerjasama susulan di Long Busang.

Hasilnya MVM bersetuju untuk kembali ke Long Busang bagi menggantikan beberapa kemudahan yang rosak akibat banjir berkenaan.

YADIM Sarawak mengucapkan terima kasih kepada MVM dan THV kerana sudi bekerjasama dengan dalam menjayakan misi kali ini.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *