Home » Langit Terbuka » Tukar wajah guna FaceApp menyalahi etika kemanusiaan

Tukar wajah guna FaceApp menyalahi etika kemanusiaan

Walaupun berada dalam era kemajuan teknologi, namun mengubah ciptaan walaupun dalam bentuk gambar tidak wajar dilakukan, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). . - Foto Odisi

KUALA LUMPUR – Penggunaan aplikasi menukar wajah, FaceApp disifatkan sebagai menyalahi etika kemanusiaan walaupun ia sekadar gambar untuk tujuan keseronokan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbuatan itu tidak patut dilakukan sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri mampu menjatuhkan maruah dan menjurus kepada keadaan yang tidak baik.

“Allah telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, jadi tidak perlu ditukarkan dengan cara yang lain.

“Ini kerana Allah telah menetapkan kemuliaan terhadap manusia dari keturunan Nabi Adam dengan pelbagai kelebihan termasuklah akal dan wajah yang mempunyai ekspresi marah, suka, geram, dendam serta sebagainya.

“Jadi saya nasihatkan agar ia dapat dielakkan daripada menukar wajah dengan wajah-wajah yang lain apatah lagi ada yang menukarkan wajah perempuan kepada lelaki dan sebaliknya,” katanya selepas melancarkan Majlis Pelancaran Tabung Wakaf Tunai Pusat Hemodialisis MAIWP- PICCOMS di sini ada 23 Jun.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penggunaan aplikasi FaceApp yang kini menjadi kegilaan dalam kalangan anak-anak muda dan netizen pada masa ini.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, walaupun berada dalam era kemajuan teknologi, namun mengubah ciptaan walaupun dalam bentuk gambar tidak wajar dilakukan.

“Sebab itu kalau kita tengok, manusia ini bila dia hidup, dia ada nama tidak seperti ayam, kucing ikan yang tidak ada nama, tetapi manusia ni ada nama seperti Ahmad, Fatimah, Ali, Zainab dan seumpamanya.

“Ini adalah untuk membezakan antara satu sama lain, jadi apabila kita tukar wajah dengan lelaki ditukar kepada perempuan dan seumpamanya, maka konsep yang sepatutnya kita kenal identiti mereka akan berubah dan merupakan sesuatu yang tidak baik,” katanya. – Sinar Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *