Home » Langit Terbuka » Usaha bantu pasangan Islam

Usaha bantu pasangan Islam

LEBIH 10,000 isteri dan 30,000 anak Kedah menarik nafas lega apabila mereka berpeluang diiktiraf hak masing-masing dalam institusi kekeluargaan negara bermula 1April ini.

Ia berikutan Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan yang dianjurkan selama enam bulan sehingga September depan oleh kerajaan Kedah bertujuan menyelesaikan masalah kepada mereka yang berkahwin di luar negara, termasuk Thailand.

Penyelaras program terbabit, Mohd Nor Azim Abd Razak berkata, Kedah menjadi negeri ketiga yang berusaha membantu pasangan Islam dan mereka yang mempunyai anak untuk mendapatkan hak selepas Pahang dan Selangor.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan daripada pasangan yang berkahwin untuk pertama kali atau berpoligami sesama rakyat Malaysia atau warga asing gagal mendapatkan sijil nikah negara ini, termasuk sijil kelahiran anak.

“Masalah ini timbul apabila pasangan yang bernikah secara sah di luar negara tidak mendaftar perkahwinan mereka di negara ini hingga menyebabkan pelbagai isu timbul apabila berlakunya perceraian, kematian atau permohonan sijil kelahiran anak.

“Program ini adalah idea Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid yang mahu mengelakkan pasangan tidak mendaftarkan perkahwinan, sekali gus menyebabkan hak isteri dan anak terabai.

Program mampu bantu

“Program ini diyakini mampu membantu mana-mana isteri, termasuk yang berpoligami melindungi hak mereka sekali gus mengelakkan pengabaian hak nafkah, manakala anak mereka akan dikategorikan Anak Tidak Sah Taraf (ATST) yang memberi tanggapan negatif dalam masyarakat.

“Bayangkan jika berlakunya masalah, sudah pasti isteri dan anak mereka akan terabai hingga menjejaskan masa depan,” katanya yang ditemui di sini baru-baru ini.

Mohd Nor Azim berkata, pihaknya mensasarkan program permulaan ini dianjur selama enam bulan bagi melihat sambutan dan perkara yang mungkin timbul untuk diperkasakan.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi keutamaan kepada pasangan yang berkahwin pada 2017 dan sebelumnya, serta mereka yang sudah mempunyai anak.

“Kita akan membuka pendaftaran bersyarat kepada semua pasangan yang mahu mendaftar dan mereka perlu hadir ke kaunter di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK) atau pejabat agama daerah.

“Pasangan terbabit atau salah seorang daripada mereka perlu mengemukakan dokumen yang sah seperti kad pengenalan suami isteri, surat nikah negara tempat bernikah, surat pengesahan konsulat Malaysia di negara terbabit dan dokumen perjalanan yang sah.

Syarat wajib perlu dikemukanakan

“Semua syarat terbabit adalah perkara wajib yang perlu dikemukakan untuk diproses, manakala mereka yang kehilangan dokumen atau mengalami kerosakan teruk, perlu membuat carian semula di tempat mereka bernikah,” katanya.

Menurutnya, bagi pasangan yang kehilangan dokumen perjalanan, akuan bersumpah perlu dibuat.

Mohd Nor Azim berkata, pihaknya mempermudahkan proses pendaftaran perkahwinan rentas sempadan menerusi denda minimum iaitu RM300 kepada pasangan terbabit, berbanding RM3,000 sebelum ini.

“Kita bercadang menyelesaikan setiap satu pasangan yang sudah membuat pendaftaran lengkap, dan mereka akan dipanggil ke Mahkamah Syariah untuk penghakiman dalam tempoh kurang 100 hari.

“Selepas itu, mereka perlu membayar denda sebelum sijil nikah Malaysia dikeluarkan JHEAINK. Bagi anak pula, pendaftaran boleh dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan surat beranak atau kad pengenalan,” katanya.

Bagi anak yang dikategorikan ATST, Mohd Nor Azim berkata, mereka boleh meminda nama bapa yang sebelum itu ‘Bin Abdullah atau Abdul’ kepada bapa kandung masing-masing.

“Usaha ini diyakini mampu menyelesaikan masalah ATST yang pada asasnya berlaku apabila ibu bapa yang bernikah di luar negara tetapi gagal mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *