Home » Langit Terbuka » Zakir Naik: TPM berjaya batalkan saman Hindraf

Zakir Naik: TPM berjaya batalkan saman Hindraf

Zakir Naik. Foto : indianexpress.com

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan empat yang lain untuk membatalkan saman pemula yang difailkan pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf) P. Waytha Moorthy bersama-sama 18 individu lain.

Saman pemula itu adalah bagi menuntut perisytiharan mahkamah bahawa pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik, sebagai suatu ancaman terhadap keselamatan negara dan dilarang daripada memasuki Malaysia.

Hakim Datin Azizah Nawawi memutuskan demikian dengan kos RM9,000 selepas mendapati penceramah terbabit tidak dijadikan sebagai salah satu pihak dalam saman tersebut.

Dalam saman difailkan pada 1 Mac tahun lalu, Waytha Moorthy bersama-sama 18 yang lain terdiri daripada ahli politik, peguam dan badan bukan kerajaan (NGO), menuntut perintah perisytiharan bahawa penceramah terkenal itu merupakan ancaman terhadap ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dan perlu ditangkap serta-merta.

Mereka turut mendakwa Zakir Naik telah menggalakkan keganasan, dihalang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi dorongan kepada warga asing yang berada di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *