Home » Langit Terbuka » 70,000 mohon masuk MRSM, kuota hanya 7,760

70,000 mohon masuk MRSM, kuota hanya 7,760

Kerajaan telah memutuskan kuota 65 peratus kemasukan bermula tahun hadapan mesti diisi pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah - Warta MARA

KULIM – Sebanyak 70,000 permohonan kemasukan ke Tingkatan 1 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi pembelajaran tahun hadapan telah diterima sehingga tarikh tutup permohonan, 4 Disember lepas.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jumlah itu adalah besar berbanding kuota maksimum 7,760 yang boleh ditawarkan di 54 buah MRSM seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, seperti yang telah diputuskan kerajaan baharu, kuota 65 peratus kemasukan bermula tahun hadapan mesti diisi pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Pendaftaran kemasukan ke Tingkatan 1 MRSM akan bermula pada 14 Januari depan manakala semakan keputusan boleh dibuat pada 21 Disember ini melalui laman web Mara (Majlis Amanah Rakyat),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada Program ‘Jom Kembali Ke Sekolah’ di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaaan Taman Mutiara dekat sini, hari ini.

Rina berkata, buat pertama kali, beliau telah mengarahkan Mara agar mengumumkan keputusan pelajar yang berjaya diterima masuk ke MRSM lebih awal iaitu pada bulan ini bagi mengelakkan ibu bapa terpaksa membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka berulang kali.

“Ia mengelak persediaan persekolahan yang terpaksa dibuat dua kali oleh ibu bapa ataupun ibu bapa terpaksa tolak terus tawaran MRSM itu apabila mereka telah pun siapkan kelengkapan anak-anak di sekolah menengah biasa dan tidak mempunyai peruntukan lain untuk membuat persiapan sekali lagi apabila anak mereka diterima masuk MRSM,” katanya. – Bernama

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *