Home » Langit Terbuka » Adili, tafsir perundangan berkaitan umat Islam selaras perlembagaan

Adili, tafsir perundangan berkaitan umat Islam selaras perlembagaan

Mahkamah Persekutuan diharapkan dapat membuat pengadilan sebaik mungkin semasa pelaksanaan kuasa pentafsiran undang-undang dalam perkara melibatkan kepentingan umat Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz.

Pensyarah Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan kuasa budi bicara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengasingkan semua agensi persekutuan daripada undang-undang Syariah.

Agensi tersebut ujarnya, seolah-olah tidak boleh melaksanakan undang-undang syariah yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan tidak dapat menerima pakai keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa

Kebangsaan, atau sekiranya fatwa diwartakan di negeri-negeri.

“Dalam isu budi bicara pelaksanaan kuasa pentadbiran JPN, keputusan Mahkamah Rayuan itu dilihat sebagai telah mengagalkan peruntukan literal dalam Perlembagaan Persekutuan, yang mana undang-undang Islam tidak boleh terpakai kepada orang Islam dan JPN hendaklah patuh kepada keputusan mahkamah Rayuan tersebut.

“Sama ada fatwa itu berbeza antara negeri atau Persekutuan ia bukan isu besar. Isunya Mahkamah Rayuan cuba mengasingkan fatwa daripada agensi persekutuan yang terkait dengan peruntukan peribadi individu Islam.

“Kita tidak menafikan bidang kuasa Mahkamah Rayuan untuk mendengar semakan kehakiman yang dibawa oleh pasangan Islam ke Mahkamah Sivil.

“Cuma kita mempersoalkan mengapa Mahkamah Rayuan ini tidak memberikan tempat sepatutnya kepada undang-undang Syariah yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh sebab itu Mahkamah Rayuan menyatakan pada perenggan 54 bahawa fatwa itu juga tidak terpakai kepada agensi kerajaan sekiranya ia bercanggah dengan Akta Parlimen (seperti Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian), dan seterusnya mahkamah tidak boleh menerima walaupun fatwa telah diwartakan ,” terangnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), melalui Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan kes Mahkamah Rayuan berkaitan anak tidak sah taraf orang Islam ke Mahkamah Persekutuan pada 27 Julai lalu.

Ini susulan Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya membenarkan rayuan dikemukakan pasangan Islam yang memfailkan semakan kehakiman mengarahkan ketua pengarah JPN menggantikan nama anak mereka berbin atau berbinti Abdullah dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Bagaimanapun JPN menegaskan akan meneruskan dasar sedia ada sepertimana yang telah diputuskan di dalam keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang tidak membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan dengan nama lelaki yang mengaku bapa mereka.

Ditanya mengenai keputusan fatwa Majlis Muzakarah Kebangsaan yang dilihat seolah-olah tidak terpakai terhadap agensi-agensi kerajaan sebagaimana keputusan Mahkamah Rayuan itu, beliau menerangkan, ini kerana fatwa tidak akan menjadi undang-

undang yang sah selagi ia tidak diwartakan.

“Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bukan satu `agensi’ yang mengikat fatwa diperingkat persekutuan kerana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu perlu dibawa kepada negeri-negeri untuk diwartakan.

“Sebaik mungkin, apabila keputusan muzakarah Majlis Fatwa itu dicapai mufti- mufti negeri perlu membuat keputusan untuk menilai dan sebaiknya mewartakan fatwa di negeri.

“Ada juga negeri-negeri tidak mewartakannya dan ada juga negeri yang mewartakan fatwa yang lain daripada Keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan,” ujarnya.

Justeru Shamrahayu mengharapkan, sebagai sebuah mahkamah tertinggi dalam perundangan negara, Mahkamah Persekutuan perlu memberikan tempat sewajarnya kepada undang-undang syariah di negara ini terutama membabitkan kepentingan agama dan maqasid Syariah yang merupakan intipati kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi saya keputusan itu perlu dirayu untuk mendapatkan keputusan yang lebih terperinci dan tepat di Mahkamah Persekutuan nanti.

“Walaupun undang-undang Islam di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun sekiranya negeri membuat sesuatu undang-undang yang sah sepatutnya ia berkesan di mana-mana peringkat mahkamah di negara ini dan ia seharusnya juga menjadi rujukan yang mengikat agensi-agensi di bawah persekutuan sekiranya sesuatu kes itu melibatkan undang-undang diri seorang Islam,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan isu ini timbul dan mungkin akan berlaku lagi di masa akan datang disebabkan negara ujarnya, tidak mempunyai satu falsafah undang- undang yang diterima pakai oleh semua hakim di mahkamah sivil.

“Hakim-hakim perlu faham asas struktur perlembagaan negara. Dalam falsafah undang-undang perlembagaan, kita tidak boleh mengasingkan sesuatu itu secara jelas kerana negara ini dibina atas kepentingan yang menyeluruh, bukan semata- mata perundangan.

“Seseorang individu dijaga undang-undang awam dan undang-undang peribadi. Dalam isu membabitkan JPN, undang-undang awam tertakluk kepada JPN untuk mendaftarkan tetapi JPN dalam melaksanakan tanggungjawabnya menghormati hak individu itu. Undang-Undang Peribadi ini bukan urusan orang Islam sahaja, ia juga melibatkan orang bukan Islam.

“Jika seseorang itu kata dia tidak mahu terikat dengan ‘fatwa’ sebenarnya tidak dibolehkan kerana selagi dia menganut agama Islam, dia terikat dengan fatwa.

“Mahkamah perlu faham tentang sistem perundangan, sama ada peruntukan dalam perlembagaan yang tersurat dan perkara yang tersirat.

“Keputusan Mahkamah Rayuan ini kurang tepat walaupun mempunyai alasan tersendiri. Kita melihat keputusan sebelum ini, yang mana ‘hak asasi’ perlu dilihat selaras dengan kedudukan Islam dalam perlembagaan.

“Jadi pendekatan dalam pentafsiran perlembagaan ini harus diharmonikan walaupun adakalanya dilihat secara mata kasar bercanggah dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah,” terangnya. – https://malaysiadateline.com

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *